
MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah menziarahi dan menyampaikan bantuan kewangan serta barang-barang keperluan harian kepada mangsa kebakaran di FELDA Jengka Enam, di sini semalam.
Beliau berharap, mudah-mudahan dengan bantuan yang dihulurkan itu dapat meringankan sedikit beban musibar besar menimpa ke atas mangsa dan keluarga tersebut serta mereka dapat bersabar dan redha menerima ujian tersebut.
“Semoga Allah gantikan dengan yang baik lagi, Insya-Allah,” ujarnya yang hadir bersama Pengarah FELDA Wilayah Jengka, Mohd Termizi Lee dan Pengurus FELDA Jengka Enam, Mohd Reduan Arshad.
Dalam kejadian kebakaran awal pagi kelmarin, mangsa, Nor Ain Asri, 60, bersama 18 anggota keluarganya yang lain tinggal sehelai sepinggang apabila api dengan cepat memusnahkan kediaman dihuni mereka.
Menceritakan semula kejadian yang berlaku itu, anak ketiga mangsa, Mohd Shaiful Dollah, 30, berkata, sekitar jam 1 pagi beliau dikejutkan oleh isterinya kerana ternampak nyalaan api dalam bilik setor rumah tersebut.
“Kali pertama api di dinding stor itu berjaya saya padamkan dan dalam masa saya mengejutkan ahli keluarga yang lain bangun, tiba-tiba ada api menyambar kabel elektrik di dinding yang sama dan terus marak dengan pantas.
“Apabila api sudah marak dengan pantas, kami semua hanya mampu menyelamatkan diri masing-masing saja, tak sempat langsung hendak ambil dompet , handphone dan barang-barang peribadi yang lain.
“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada ADUN Chenor, Pengurus dan Ketua Kampung serta semua pihak yang terlibat membantu dan memberi sumbangan, semoga ianya dapat sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga yang ditimpa musibah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jengka Enam, Shaharuddin Mat Lela berkata, berikutan kejadian ini pihaknya telah melancarkan tabung bencana khas FELDA dan JPKK bagi membantu.
“Selain itu, hari ini JPKK juga turut menyediakan makan pagi dan tengah hari untuk mereka, dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurus FELDA Jengka Enam kerana membenarkan keluarga ini menduduki sementara rumah kakitangan FELDA yang kosong sehingga rumah baru mangsa siap dibina,” katanya lagi
Sementara itu, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang juga turut hadir menyampaikan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa dan sumbangan telah disampaikan melalui Ahli Jawatankuasanya, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa bolehlah menyumbang melalui akaun anak mangsa, Salehatun Nur Dollah di akuan Maybank
1560 5754 5005. – HARAKAHDAILY 5/2/2022















