
SOLAT merupakan perintah Allah yang menjadi asas dalam Rukun Islam:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
(al-Baqarah: 43)
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَٰبٗا مَّوۡقُوتٗا ١٠٣
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(al-Nisa’: 103)
Solat yang khusyuk akan membenih taqwa dalam diri. Ia menjadi benteng diri daripada perkara mungkar.
Suami dan isteri yang menjaga solat, berkat kehidupan berkeluarga. Pemimpin dan pentadbir yang memelihara solat, ia menjadi perisai daripada melakukan perkara yang menyeleweng. Anak-anak yang sentiasa terdidik dengan solat, akhlaknya terjaga. Solat sentiasa mengingatkan diri akan hakikat kita hamba, setiap tindakan kita akan dicatat pahala atau dosa.
Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45:
ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ ٤٥
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
Justeru, sebagai satu inisiatif kempen penghayatan solat, saya dan YB Dato’ Ustaz Marzuk Shaary bersama #PasukanMenteriAgama melaksanakan ‘Bulan Solat Peringkat Kebangsaan’ di sepanjang bulan Rejab 1443H ini.
“Ustaz, sebulan je solat, bulan lain tak perlu solat?”. Bukan itu maksudnya. Selagi kita hidup, kewajipan solat itu setiap hari.
Kempen ini menjadi pemangkin kepada kita semua untuk lebih meningkatkan kualiti ibadah daripada sudut amalan solat.
Semoga dengan program yang dirangka ini, kita sama-sama dapat belajar mengenai Fiqh Solat, cara mendapatkan solat khusyuk, sentiasa memberi nasihat mengenai solat dan sebagainya.
Amat membimbangkan, masyarakat Islam kita mengambil ringan berkaitan dengan solat. Bagaimana kita ingin berjaya di dunia dan di akhirat sekiranya amalan pertama yang dihisab tidak dilaksanakan?
Maka, semoga usaha ini kita islah (perbaiki) diri menjadi hamba yang taat kepada perintah Allah S.W.T sebagai persiapan untuk kita bertemu bulan Ramadan al Mubarak nanti. Insya-Allah.
Insya-Allah pada hari ini akan diadakan Majlis Pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang diurusetiakan oleh JAKIM bersama agensi hal ehwal Islam.
YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 4/2/2022











