
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: PAS sentiasa komited ke arah usaha menyeru pemimpin politik Melayu-Islam kepada penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata pihaknya sedang berusaha mengadakan pertemuan bersama pemimpin-pemimpin setiap parti menentukan hala tuju masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mencadangkan pertemuan diadakan antara pemimpin-pemimpin politik sebelum menghadapi PRU15.
“Pada saya memang itulah di antara usaha-usaha yang akan dilaksanakan oleh PAS.
“Kita berusaha untuk mempertemukan semua parti Melayu ini untuk melihat hala tuju bagi berhadapan dengan PRU15,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyarankan pertemuan pemimpin politik Melayu, badan bukan kerajaan Melayu-Islam perlu digerakkan semula sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno antara individu penting yang memainkan peranan sehingga terbentuk Muafakat Nasional (MN) itu meminta individu yang tidak terlibat dalam pembentukkan MN sebelum ini berhenti bercakap, sebaliknya memberi peluang kepada pucuk pimpinan membuat kenyataan.
MN dibentuk pada 14 September 2019 selepas kedudukan ketuanan Melayu-Islam terjejas di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun segelintir pemimpin Umno terutamanya di Johor dan Kelantan menganggap MN sudah tidak wujud. Malah, Umno Kelantan memutuskan hubungan dengan PAS dengan membelakangi keputusan Perhimpunan Agung Umno. – HARAKAHDAILY 4/2/2022











