
ADALAH dimaklumkan YB Haji Razman Zakaria disahkan positif COVID-19 berdasarkan keputusan swab test yang dikeluarkan Bahagian Kesihatan Awam KKM Ipoh pada 4 Februari 2022.
YB Haji Razman yang juga Ahli MMK Perak mengalami beberapa simptom pada Rabu lalu dan mengambil langkah pemeriksaan kendiri. Dari tiga pemeriksaan kendiri itu, dua darinya positif.
Sebagai langkah berjaga jaga beliau telah menjalankan kuarantin kendiri dan membuat swab test dengan pusat Kesihatan Awam di Ipoh pada 3 Februari.
Keputusan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan beliau positif COVID-19 dan wajib melaksanakan kuarantin sehingga 8 Februari. Perkembangan selepas tarikh itu akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Walaupun keadaan kesihatan beliau adalah baik, namun semua program yang melibatkan beliau ditangguhkan susulan perintah kuarantin wajib.
Pihak yang berkaitan dipohon menghubungi pejabat Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan untuk penjadualan semula aktiviti membabitkan beliau.
YB Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak memohon maaf di atas kesulitan yang timbul susulan perkara berkaitan.
Beliau juga menasihatkan mana-mana individu yang merupakan kontak rapat beliau dalam tempoh mutakhir dan mengalami simptom untuk melakukan pemeriksaan kendiri COVID-19.
Beliau mengharapkan doa dari semua rakyat negeri Perak agar diberi kesihatan bagi meneruskan tugas mengangkat industrian Pertanian negeri Perak.
Beliau juga berdoa agar semua warga Perak terhindar dari sebarang musibah dan menasihatkan semua agar terus menjaga kesihatan dan mengamalkan SOP yang ditetapkan pihak berwajib.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha
PAS Negeri Perak
merangkap
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 4/2/2022











