
Oleh AIN MANAF
RANTAU PANJANG: Bagi mempertingkatkan kawalan jenayah rentas sempadan sebanyak 10 unit dron tambahan diserah kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk memastikan keberkesanan kawalan keselamatan sempadan negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Dato’ Hazani Ghazali berkata, peralatan itu digunakan untuk mengenal pasti risiko dan ancaman di sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, unit khas yang bertanggungjawab bagi mengendalikan dron diberikan latihan kemahiran sejak Mac tahun lalu untuk memastikan supaya ia dapat dikendalikan dengan sebaik mungkin.
“Sebanyak 10 unit dron diserahkan kepada pasukan. Dron merupakan salah satu daripada manfaat kecanggihan teknologi masa kini memandangkan trend jenayah sentiasa berubah mengikut keadaan dan peluang untuk melakukan aktiviti jenayah.
“Jadi kita harap dengan penggunaan dron ia akan memudahkan tugasan pasukan untuk membuat pemantauan dan membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk mengesan kemasukan pendatang tanpa izin (PATI),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan dron kepada PGA di Markaz Taktikal Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am di Lubok Stol, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, sepanjang tahun 2021 pasukan PGA berjaya mengendalikan sebanyak 1043 kes berbanding tahun 2020 (800 kes).
Manakala, nilai keberhasilan pula bagi tahun 2021 sebanyak RM68.41 juta berbanding tahun 2020 sebanyak RM60.77 juta.
Katanya, dalam tempoh dua tahun tersebut PGA berjaya menahan seramai 431 PATI dan 80 tekong darat. – HARAKAHDAILY 3/2/2022











