
LIPIS: Pimpinan PAS Kawasan Lipis telah menyantuni ahli-ahli keluarga mangsa kemalangan ngeri dalam ziarah dan sumbangan yang diadakan di Kampung Kubang Rusa, Merapoh, di sini kelmarin dahulu.
Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal mengetuai lawatan bersama Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Zaripin Ismail dan Ketua Muslimat, Ustazah Nozunida Mat Nor serta Ketua PAS Cawangan Mentara Baru, Wan Mohamad Wan Hassan.
Tragedi itu meragut nyawa tiga guru tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kampung Mentara Baru, Kuala Lipis iaitu Che Mazenah Hussein, 61 dan Mariam Ariffin, 41 yang maut di tempat kejadian.
Manakala, Rosnani Md Daud, 28 meninggal di Hospital Lipis, sementara pemandu kereta Toyota Altis dinaiki mereka, Wan Azizul Wan Daud, 31 yang merupakan Imam Masjid Merapoh mengalami cedera patah tangan.
Kejadian di Kilometer 84 Jalan Merapoh-Lipis itu dikatakan berpunca apabila kereta tersebut cuba mengelak motosikal yang keluar dari simpang lalu bertembung kenderaan keselamatan Securiforce di laluan bertentangan.
Turut mendapat kecederaan adalah pemandu dan petugas kenderaan Securiforce tersebut yang mengalami patah tangan dan kaki di mana dikejarkan ke Hospital Lipis menerima rawatan di situ.
Pimpinan PAS Lipis turut memanjangkan kunjungan menziarahi mangsa kemalangan jalan raya, Sabariah Awang Seman, 58 dan anaknya, Nur Syazlin Azizan, 16 di Taman Berkat, Merapoh, di sini.
Pada kejadian minggu lalu itu dimaklumkan mereka berdua dalam perjalanan ke kebun di mana kain dipakai Syazlin terlekat pada rantai motosikal menyebabkan hilang kawalan dan mereka terbabas.
Akibatnya, Sabariah mengalami retak tempurung kepala dan kulit kepala terkoyak hingga menerima lebih 10 jahitan, serta dalam keadaan koma selama tiga hari dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
“Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan semoga Allah mencucuri rahmat serta menempatkan arwah bersama para solihin,” ujar Roslan mengharap ahli-ahli keluarga mangsa redha dan ikhlas menerima ketentuan Allah. – HARAKAHDAILY 1/2/2022














