
MARAN: Chenor Tengkujuh Ride 2021 menjadi satu lagi temasya dan acara sukan riadah berbasikal yang menyumbang kepada bukan sahaja aktiviti sihat dalam kalangan rakyat, tetapi juga promosi pelancongan.
Penganjuran yang menyusuli Chenor Nature Fun Ride pada Disember lepas itu sebenarnya adalah ‘program tertunda’ disebabkan banjir melanda, di mana jadual asal sepatutnya diadakan pada Disember lalu.
ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah melakukan pelepasan 326 peserta Chenor Tengkujuh Ride 2021 yang datang dari beberapa negeri pada permulaan di Dataran Indera Pahlawan, di sini kelmarin.
Acara kali ini telah dianjurkan oleh Penggerak Acara Padang Lalang (PAPL) bersama Majlis Daerah Maran (MDM) dengan mendapat penajaan utama dari Tourism Malaysia Pahang serta ADUN Chenor sendiri.
Katanya, Chenor masih kekal mempunyai banyak kampung tradisional yang mempunyai nilai sejarah tersendiri untuk dilawati dan program sebegini amat sesuai untuk menyemarakkan lagi usaha mempromosikan Chenor sebagai destinasi pelancongan.
“Saya juga ucap tahniah kepada penganjur dan selamat datang kepada semua peserta serta ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat termasuk PDRM dan APM serta RELA yang melancarkan lagi program pada hari ini,” ujar Ustaz Mujibur.
Pengarah Chenor Tengkujuh Ride 2021, Mohd Sabri Ishak memaklumkan, program berbasikal sejauh 64 kilometer ke Kampung Kuala Wau ini telah menarik minat penyertaan peserta dari negeri
Selangor, Johor, Terengganu dan Negeri Sembilan serta Melaka.
“Ini adalah penganjuran kedua oleh PAPL di Chenor selepas acara berbasikal sempena menyambut Ramadan tahun lalu dan berharap acara hari ini dapat dijadikan acara tahunan disamping mempromosikan Chenor.
“Kejayaan penganjuran program hari ini adalah kerana kerjasama dari agensi-agensi kerajaan di sini dan juga pihak ADUN Chenor,” ujarnya yang juga merupakan bekas pelumba basikal kebangsaan.
Acara telah ditutup oleh Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin merangkap ADUN Kuala Sentul dan turut dihadiri juga Setiausaha MDM, Wan Norizan Wan Badaruzzaman. – HARAKAHDAILY 1/2/2022













