Mangsa banjir boleh dapat rebat RM500 alat elektrik

Program SAVE 3.0 yang memberi rebat sehingga RM400 untuk pembelian barangan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Bantuan rebat pembelian barangan elektrik RM500 untuk mangsa banjir melalui Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia boleh mula dinikmati hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bantuan itu layak dinikmati warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengguna akaun elektrik domestik dengan syarikat utiliti elektrik, serta kediaman ditenggelami banjir dan tersenarai sebagai mangsa banjir.

“Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban kepada pengguna elektrik domestik yang terkesan dengan bencana banjir untuk membuat pembelian peralatan elektrik bagi menggantikan peralatan yang rosak.

“Pelaksanaannya akan menggunakan platform Program Sustainability Achieve ViaEnergy Efficiency (SAVE) yang diselaraskan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia),” katanya

- Advertisement -

Menurut Takiyuddin, setiap pemilik akaun elektrik yang layak boleh memohon dan mendapatkan rebat berkenaan semasa membuat pembelian secara fizikal di kedai dan pasaraya berdaftar.

Katanya, pengguna juga boleh membuat pembelian menggunakan platform e-dagang yang diiktiraf di bawah Program SAVE.

“Permohonan ini melibatkan pembelian peralatan elektrik domestik yang disenaraikan sahaja, iaitu sebanyak 15 jenis peralatan elektrik setakat ini, dan ianya mematuhi keselamatan piawaian elektrik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Mangsa banjir boleh membawa bil akaun elektrik dan juga perlu membawa salinan kad pengenalan, dan dokumen sokongan atau laporan terlibat banjir, ke kedai berdaftar dengan SEDA Malaysia untuk mendapatkan rebat ini bermula hari ini,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini terdapat lebih 1,100 pekedai berdaftar bagi program berkenaan.

Katanya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan SEDA Malaysia juga mengambil tindakan proaktif untuk mendaftarkan sebanyak mungkin pekedai elektrik di bawah program berkenaan di kawasan terkesan banjir.

Tindakan itu katanya, dibuat dengan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak menyusahkan mangsa banjir menerima bantuan itu.

“Jika didapati, di kawasan berlakunya bencana itu belum terdapat atau hanya terdapat beberapa sahaja pekedai, kita akan mencari atau mengenal pasti pekedai atau peruncit yang bersedia didaftarkan.

“Kemudian, mereka akan didaftarkan sebagai peruncit atau pekedai yang berdaftar dan boleh melaksanakan program e-rebat ini,” katanya.

15 peralatan elektrik yang tersenarai adalah peti sejuk, mesin basuh, kipas, lampu, periuk nasi, televisyen, seterika, ketukar elektrik, pengisar, cerek elektrik, penyedut hampagas, dapur elektrik, ketuhar gelombang mikro, penyejuk beku dan penghawa dingin.

Untuk maklumat lanjut seperti senarai kedai berdaftar, pengguna boleh merujuk melalui laman sesawang www.saveenergy.gov.my

Selain Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia melalui rebat pembelian alat elektrik domestik, KeTSA juga memperkenalkan Program SAVE 3.0 yang memberi rebat sehingga RM400 untuk pembelian barangan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga 2022.

Selain itu, KeTSA melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga memberi rebat 100 peratus secara sekali one-off bil elektrik bagi bulan Disember 2021 kepada 72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas akibat banjir. – HARAKAHDAILY 7/1/2022

- Advertisement -