Mangsa banjir hargai sumbangan Muslimat PAS Sabah

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

KUDAT:
Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, semalam menyampaikan sumbangan bagi membantu penduduk sekitar Pitas yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku baru-baru ini.

Seramai 46 keluarga telah menerima barangan dapur, lampin pakai buang, susu dan air mineral yang disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat negeri, Norsah Bongsu.

- Advertisement -

Menurut Norsah, seawal jam 1 tengah malam, pasukan muslimat bersama Khidmat Malaysia (Sabah) yang diketuai oleh Sahar Abdul Majid bergegas ke Pitas untuk misi bantuan banjir.

“Kami memberikan komitmen penuh dalam misi bantuan ini yang disampaikan kepada penduduk sekitar Kampung Rokum.

“Walaupun rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk, masalahnya mereka tidak dapat keluar mencari rezeki,” katanya.

Menurutnya lagi, PAS Kudat telah bertindak pantas meredah air banjir yang tinggi untuk menghantar makanan kepada keluarga yang terputus bekalan sebelum beliau dan pasukannya turun ke kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Marlina Amin, 30, amat berterima kasih kepada PAS atas sumbangan yang telah diberikan ketika mereka ditimpa musibah.

“Saya gembira kerana PAS yang sangat prihatin dengan masalah yang kami hadapi,” ujarnya.

Terdahulu, Muslimat PAS Sabah turut meninjau situasi pasca banjir di Kampung Segaliud di samping Jabatan Amal Sabah membantu membersihkan rumah-rumah yang terlibat banjir. – HARAKAHDAILY 6/1/2022

- Advertisement -