
Oleh AIN MANAF
RANTAU PANJANG: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bukan sahaja memberi peringatan awal kepada penduduk tentang banjir, sebaliknya memperkasakan peranan membantu komuniti ketika negara dilanda musibah tersebut.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, fungsi KRT amat penting sebagai ‘first responder’ dalam memastikan operasi semasa.
Selain itu katanya KRT memainkan peranan dalam aspek keselamatan dan perpaduan dalam keharmonian sesebuah komuniti.
“Sehingga kini kita mempunyai lebih 8,000 KRT di seluruh negara yang aktif dalam menjalankan peranan sebenar termasuk memberi peringatan awal kepada penduduk tentang banjir.
“KRT turut digerakkan ke negeri-negeri lain yang terlibat dengan banjir seperti Selangor dan Pahang bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir dan melupuskan barangan yang rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu di Kampung Serongga, di sini semalam.
Armada turut menyampaikan sumbangan keperluan asas dan bakul makanan kepada penduduk di Rantau Panjang, Jeli, dan Tanah Merah yang terkesan dengan musibah banjir.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada berkata, seramai 5,000 Armada digerakkan untuk membantu penduduk di beberapa negeri yang terjejas banjir.
Katanya, selain membantu pembersihan kediaman mangsa banjir, mereka juga membantu khususnya warga emas yang tidak berdaftar secara rasmi di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mendapat Bantuan Wang Ihsan. – HARAKAHDAILY 6/1/2022











