Lelaki balik umrah kes pertama Omicron di Sabah

Datuk Seri Masidi Manjun
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang tiba di negara ini pada 19 Dis lepas selepas menunaikan umrah, merupakan kes positif pertama Covid-19 varian Omicron dikesan di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.   

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata lelaki berkenaan bersama isterinya menunaikan umrah pada 9 Dis hingga 18 Dis lepas dan kembali ke Malaysia pada 19 Dis melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

- Advertisement -

Beliau berkata pesakit bersama isterinya itu tiba di Tawau pada 20 Dis dan diarah menjalani kuarantin di rumah, namun keputusan ujian penjujukan genom keseluruhan pada 4 Jan lepas menunjukkan lelaki tersebut positif varian Omicron.

“Semasa disahkan positif Covid-19, suami pada Kategori 2 manakala isterinya Kategori 1. Mereka berdua telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Jan lepas dan telah pulih daripada jangkitan virus Covid-19.

“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami, dikesan positif Covid-19 pada 24 Dis, namun penjujukan genom keseluruhan untuk isterinya masih dalam ujian,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata suami isteri itu telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 pada Jun tahun lepas dan pada masa ini kedua-duanya dalam keadaan sihat.

Mengulas kes Covid-19 di Sabah, Masidi berkata kes direkodkan hari ini meningkat kepada 280 kes berbanding 258 kes semalam. – BERNAMA

- Advertisement -