Wilayah Persekutuan sasar bandar pintar menjelang 2030

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menawarkan rumah bernilai RM200,000 seunit bagi tempoh empat tahun bermula 2021 hingga 2024 bagi membantu generasi muda memiliki rumah mampu milik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, program Residensi Prihatin Keluarga Malaysia itu menyediakan 10,000 unit rumah.

- Advertisement -

Manakala katanya bagi golongan M40, KWP menyasarkan pembinaan rumah mampu milik Residensi Wilayah Keluarga Malaysia sebanyak 80,000 unit dalam tempoh 10 tahun bermula 2018 sehingga 2028.

“KWP terus komited menyediakan persekitaran kondusif serta selamat kepada warganya dengan menyasarkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar menjelang 2030,” katanya pada kenyataan semalam.

Menurutnya juga ‘blueprint’ Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) dirangka untuk pelaksanaan inisiatif tersebut.

Kata beliau bagi fasa 2 MySmart Wilayah yang bermula 2022 hingga 2025, KWP memberi fokus lima komponen bandar pintar iaitu Smart Digital Infrastructure, Smart Governance, Smart People, Smart Environment dan Smart Mobility.

“KWP akan terus mendukung nilai teras Keluarga Malaysia yang menekankan kepada keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Ia selari dengan matlamat KWP ‘Our City Our Home’ dalam usaha menangani isu kemiskinan bandar dan menambahbaik taraf sosioekonomi kumpulan tersebut,” ujarnya.

Shahidan juga berkata, KWP akan meneruskan inisiatif My5 iaitu MYJob@Wilayah, MyGrocer@Wilayah, MySchoolBus@Wilayah, MyMedic@Wilayah serta MyFood@Wilayah. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -