
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
MARANG: PAS yakin bahawa majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno masih mahu meneruskan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau difahamkan majoriti anggota MT Umno mahu bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).
Justeru, katanya parti itu kena mengikut pemimpin MT Umno dan bukan bahagian-bahagian Umno sahaja.
“Saya difahamkan majoriti Majlis Tertinggi Umno bekerjasama. Umno kena ikut pemimpin, Majlis Tertinggi dia, bukan bahagian-bahagian.
“Bahagian-bahagian ini akar umbi, lain cerita. Kita tak boleh pakai demokrasi barat, kita kena ikut kepimpinanlah. Majoriti kepimpinan Umno adalah bersama untuk kita bersatu,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Sehubungan itu,beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata PAS mahu memperteguhkan orang Melayu Bumiputera bersama MN dan PN termasuk orang Islam dari Sarawak.
“Kita mahu orang Melayu Islam dan bukan Islam yang bukan ekstrem, yang menjunjung Perlembagaan, kita bersatu sama dalam Perikatan Nasional masa pilihan raya.
“Dan kita ajak Umno sekalilah. Sebab itu, kita teguhkan Muafakat Nasional ini, orang Melayu, bumiputera dan Perikatan Nasional termasuklah orang Islam daripada Sarawak yang ada, suasana dia sendiri dalam campuran (Gabungan Parti Sarawak).
“Sarawak bukan Perikatan Nasional, dia campuran (GPS) dan saya rasa dia berjaya di Sarawak.
“Kita sokong pilihan raya di Sarawak baru-baru ini dan (GPS) mendapat kemenangan besar. Kita harap, kita akan mendapat kemenangan besar jika kita bersatu,” tegasnya.
Ketika ditanya mengenai bantuan kepada mangsa banjir, kata Tuan Guru Abdul Hadi, beliau amat tertarik dengan kerjasama antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO).
“Saya sangat tertariklah, kerajaan bergabung dengan NGO-NGO turun ke lapangan, bekerja secara bersungguh-sungguh. Cumanya, kita kena sedar bencana alam ini tidak diduga dan bila tidak diduga itu adalah kelemahan-kelemahannya.
“Jadi, jangan kita tumpu pada kelemahan itu, mengkritik dan menghentam sahaja, kita tolong untuk menyelesaikan kelemahan bersama,” jelasnya.
Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 29 Disember lalu, mengenai Hala Tuju Taawun Siyasi dan Misi Pilihan Raya PAS PRU15 menetapkan, akan memperkasakan MN dan PN, dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara. – HARAKAHDAILY 31/12/2021











