Pasca banjir: Bantuan tunai sangat dialu-alukan

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH:
Bendahari PAS Kawasan Masjid Tanah, Abu Hashim Abdul Samad mengalu-alukan bantuan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin kepada mangsa banjir di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Abu Hashim yang juga mantan calon Perikatan Nasional bagi DUN Taboh Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini berkata, pada fasa ini mangsa-mangsa banjir sangat memerlukan bantuan dalam bentuk wang tunai.

“Program ini sangat baik. Dengan adanya program ini kita dapat membantu mangsa banjir. Yang mana saya difahamkan mereka dah cukup bantuan makanan, alatan tetapi mereka memerlukan wang tunai untuk mereka membeli keperluan atau mengganti perkara-perkara yang telah rosak.

- Advertisement -

“Walaupun bantuan ini tidaklah banyak namun sekurang-kurangnya dapat membantu mereka. Dan nampaknya mereka berpuas hati. Dan kita ucapkan terima kasih kepada YB Mas Ermieyati atas bantuan ini,” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian kepada Harakahdaily semasa mewakili Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Imran Abdul Rahman dalam majlis ringkas bantuan tersebut di sebuah restoran di Simpang Ampat, semalam.

Dalam majlis itu Mas Ermieyati telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM200 bagi setiap rumah kepada 20 ketua isi rumah daripada 34 buah rumah yang terlibat dengan banjir

Tambah Abu Hashim lagi, PAS kawasan sentiasa melihat kepada keperluan yang diperlukan mangsa-mangsa banjir mengikut fasa-fasa pemulihan.

“Kita juga mungkin akan mula bergerak ke negeri-negeri lain yang kita lihat masih sangat teruk. Contohnya kita sudah ke Jelebu. Kita tengok Pahang pun masih teruk. Insya-Allah kita cuba ke sana. Mereka ini sangat memerlukan,” ujar beliau.

Sementara itu, Mas Ermieyati dalam majlis yang sama berkata, selain di DUN Taboh Naning, seramai 240 ketua isi rumah bagi DUN Ayer Limau telah pun menerima sumbangan yang sama sebagai bantuan ihsan daripada Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah.

Tambahnya, Pusat Khidmat beliau turut menerima sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga jabatan-jabatan kerajaan bagi membantu mangsa banjir.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada NGO-NGO, orang-orang perseorangan yang membantu. Kita memang menerima banyak sumbangan daripada mereka.

“Hari ini pun ada daripada agensi kerajaan yang masuk. Hari ini ada Jabatan Penjara, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Bantu untuk kawasan Teluk Berembang dan Lubok China,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau turut merayu mana-mana pihak yang mempunyai kemahiran pendawaian elektrik untuk membantu secara sukarela dan tanggungjawab sosial (CSR) bagi rumah-rumah mangsa banjir yang mengalami kerosakan pendawaian.

Menurutnya, kerosakan itu memerlukan belanja yang besar dan ia membebankan mangsa-mangsa banjir untuk membaikinya dengan wang mereka sendiri.

“Saya nak mengalu-alukan kalau ada juruteknik-juruteknik yang sudi membuat CSR bagi membuat pemeriksaan dan membaiki pendawaian di rumah-rumah mangsa banjir ini. Setakat ini yang teruk ada 40 buah rumah untuk dibaiki,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/12/2021

- Advertisement -