
Oleh SYAHIRAH SALLEH
JELEBU: “Banjir kali ini lebih teruk berbanding banjir pada tahun 1971,” kata mangsa banjir di Kampung Sawah Liat, Mohd Yusoff Ismail, 83.
Mohd Yusoff yang mesra dipanggil Pak Ngah berkata, semasa banjir pada 1971 di kampung itu, air naik tidak setinggi banjir baru-baru ini.
Katanya, air banjir baru-baru ini lebih tinggi sehingga mencapai rumah yang didiami sekarang.
“Saya ada dua rumah, rumah yang saya duduk sekarang ini semasa tahun 1971 tidak dinaiki air, tetapi tahun ini kedua-dua rumah kena banjir.

“Arus air sangat laju sehingga menghentam pagar rumah,” kata Pak Ngah ketika ditemui Harakahdaily semasa Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Sembilan pergi menyerahkan sumbangan ke rumahnya, dekat sini.
Menurutnya, semasa kejadian beliau sedang tidur lena bersama keluarga sebelum didatangi jiran yang mengetuk pintu rumahnya memaklumkan berkenaan banjir itu.
Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam, dan dia dapat melihat air mula mengapungkan tilamnya yang berada di atas katil.
Dia kemudian tidak melarikan diri dan hanya memerhatikan paras air dari tingkat atas rumahnya sehingga air banjir mulai surut pada jam 2 pagi.
Kata Mohd Yusoff, dia percaya banjir berlaku disebabkan limpahan air sungai dari tiga cabang sungai, iaitu Hulu Klawang, Sungai Triang, dan Sungai Hulu Jelebu.
Dia dalam masa sama turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak yang membantu mencuci kediamannya termasuk JAM Negeri Sembilan.
Katanya, disebabkan rumahnya berada berhampiran jalan raya, dia menerima banyak sumbangan daripada orang luar dan amat gembira dengan keprihatinan orang ramai.
“Alhamdulillah hati senang sebab ada yang sudi sampaikan bantuan. Cuci rumah pun sudah selesai,” katanya.
Selain bantu mencuci kediaman, JAM Negeri Sembilan turut mengagihkan sumbangan berbentuk dapur gas, tong gas, toto, tikar, dan keperluan lain kepada Mohd Yusoff. – HARAKAHDAILY 31/12/2021











