Banjir: JAM Negeri Sembilan dapat kerjasama agensi kerajaan

Mohd Shahril Zainuddin
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

JELEBU:
Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Sembilan mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di daerah ini.

Sehubungan itu, Pengarahnya, Mohd Shahril Zainuddin berkata, JAM negeri sudah mendapat kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menghadapi banjir akan datang jika ketiadaan air untuk mencuci rumah mangsa.

Menurutnya, keadaan banjir kali ini agak teruk berbanding kebiasaan.

Katanya lagi, beliau pernah berbincang dengan pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) yang mengakui suasana banjir baru-baru ini sememangnya lebih teruk daripada biasa.

- Advertisement -

Tambahnya, jika sebelum ini pihak terbabit kurang memberi perhatian kepada ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia tetapi setelah berlaku banjir seperti itu, mereka akan lebih prihatin.

“Kali ini memang kena beri perhatian, sebab mereka juga kurang endah ramalan daripada Jabatan Meteorologi, tetapi apabila jadi macam ini memang kena sungguh.

“Kalau tahun biasa, tempat lain yang biasa banjir, tak expect yang ini teruk macam Hulu Langat, dia datang tu macam tsunami,” ujarnya semasa ditemui di pusat operasi misi pasca banjir di Pasti Al Biruni, Taman Bukit Kempas, di sini.

Beliau memberitahu bilik operasi itu dibuka 24 jam dengan peralatan dan aset JAM yang lebih kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Katanya, antara isu yang dihadapi oleh mangsa banjir ialah masalah bekalan air.

“Isu di sini, air. 26 paip air pecah yang menyebabkan terputus bekalan air. Seminggu juga tiada air untuk recover.

“Kita bincang, SAINS tertumpu di Jelebu untuk selesaikan paip-paip ini. Bomba Negeri Sembilan juga tertumpu di Jelebu untuk selesaikan isu paip ini.

“Banyak paip pecah, itu yang nampak. Yang nampak lebih daripada 26 buah, yang tidak nampak kita tidak tahu,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, ujar beliau JAM tidak terlibat dengan kerja-kerja menyelesaikan masalah paip pecah.

“Kita hanya dapatkan informasi di mana lokasi paip pecah, sebab kita hendak buat kerja pembersihan, perlukan sumber air.

“Jadi kita pergi ke SAINS, kita tanya terus kawasan-kawasan yang sudah ada air, mana yang tiada sumber air, hendak dapat mana, untuk senangkan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Beliau menambah, JAM mempunyai komunikasi yang baik dengan agensi-agensi kerajaan terbabit untuk mendapatkan penjelasan berhubung banjir yang berlaku itu.

“Dari segi bekalan air, SAINS sudah hantar dua tanker ke Jelebu, cuma untuk air bersih sahaja untuk kegunaan harian.

“Kita sudah dapatkan kerjasama dengan bomba untuk next bencana, jika tiada air,” ujarnya lagi.

Pada 24 Disember lalu, beliau mengetuai JAM negeri mengadakan pertemuan dengan pihak Bomba dan Penyelamat Jelebu bagi membina hubungan dengan agensi kerajaan.

Kunjungan itu juga untuk menjalin kerjasama dengan pihak Bomba bagi operasi yang akan dijalankan. Antara perkara yang dibincangkan seperti latihan, bantuan sokongan dan sukarelawan.

“Insya-Allah semoga kerjasama ini dapat membantu JAM Negeri Sembilan untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/12/2021

- Advertisement -