
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
RANTAU PANJANG: Rumah seorang warga emas di Kampung Tersang dekat sini hanya nampak bumbung ketika banjir melanda baru-baru ini.
Mariam Mamat, 77, sekarang hanya tinggal sehelai sepinggang. Peralatan rumahnya rosak teruk termasuk televisyen, peti sejuk, perabot dan pelbagai lagi.
“Banjir tahun ini lebih besar berbanding lapan tahun lalu. Rumah makcik sekarang kosong kerana tiada lagi apa-apa yang tinggal.
“Banjir kali ini lebih besar berbanding 2014. Kebiasaan banjir hanya mencecah bawah jendela sahaja, air pun tidak sampai ke jalan raya.
“Ketika makcik berpindah ke Sekolah Kebangsaan Guar Tok Deh banjir sudah melimpah ke atas rumah,” katanya ketika ditemui di sini.
Oleh itu beliau berkata, keluarganya membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua yang dikatakan akan melanda akhir bulan ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara baru-baru ini menjangka kawasan rendah di Gua Musang dan Kuala Krai akan mengalami banjir pada 30 hingga 31 Disember ini.
Seorang lagi mangsa banjir Hashim Ngah 45 turut menyifatkan banjir tahun ini lebih teruk berbanding 2014 apabila rumahnya setinggi enam kaki turut dimasuki air.
“Di bahagian dapur air naik sedalam dua kaki sehingga habis barangan seperti almari kabinet dan peti sejuk rosak,” katanya.
Rogayah Mat Saud 46 pula terkejut berbaur sedih selepas pulang dari PPS, melihat kediaman anaknya, Nor Arifa Suriani Abdullah yang hampir musnah akibat rempuhan arus banjir.
“Selepas pulang dari PPS di Sekolah Kebangsaan Guar Tok Deh selama tujuh hari, saya terkejut melihat keadaan rumah anak saya yang hampir musnah,” katanya.

Menurut beliau keluarganya sekarang menumpang di rumah lain buat sementara waktu kerana bimbangan gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku esok dan Jumaat. – HARAKAHDAILY 29/12/2021











