Khidmat Malaysia giat operasi pembersihan pasca banjir

- Advertisement -

MARAN: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Kawasan Maran telah mengambil langkah segera menggerakkan pasukan operasi pembersihan ke Masjid Kampung Nyak, Chenor, di sini semalam.

- Advertisement -

Pasukan ini dengan kerjasama para pemuda setempat telah berpadu tenaga untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan lumpur setelah dimaklumkan air telah surut dengan laju setelah pekarangan masjid itu dilanda banjir.

Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman berkata, inisiatif itu segera dilaksanakan kerana mengikut pengalaman lalu, kerja membersih menjadi sukar apabila tunggu lumpur tebal sudah kering.

“Jadi kami mengambil peluang mencuci ketika air sedang surut ini kerja membersih jadi mudah kerana lumpur-lumpur yang tebal itu masih lembut,” ujar beliau.

Pun begitu ceritanya, pasukan tersebut berdepan sedikit kesukaran dihadapi untuk membawa peralatan mencuci ke masjid yang berada di tepi Sungai Pahang itu.

“Oleh kerana jalan darat ke masjid itu masih terputus, kami terpaksa mengangkut alatan membersih dengan bot melalui Kampung Batu Tampul terus ke Masjid Kampung Nyak ini yang kedudukannya betul-betul berhadapan dengan Sungai Pahang,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, satu lagi pasukan membersih Khidmat Malaysia Maran telah menyertai gotong-royong bersepadu mencuci di Kampung Paya Pasir.

Ketua Pemuda PAS Maran, Ustaz Abdul Latif Abdul Halif dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Maran, Ustaz Zawawi Ahmad turut menyertai gotong-royong ini bersama-sama 20 anggota Khidmat Malaysia Maran yang lain.

Ustaz Latif memaklumkan gotong-royong bersepadu tersebut disertai bersama pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Alam Flora, SwCorp Pahang serta penduduk tempatan.

Menurut beliau lagi, bangunan tumpuan gotong-royong tersebut adalah Madarasah Arabiah Islamiah, balai raya dan tadika serta Klinik Desa di sini.

“Gotong-royong ini juga turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Maran, Dato’ Seri Ismail Abdul Muttalib yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, di Kampung Sekara, Chenor, sepasukan lagi dari Khidmat Malaysia Maran dan Jabatan Amal Maran serta pemuda tempatan yang berjumlah 30 anggota telah berjaya mencuci lapan rumah penduduk di situ. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -