Banjir: Kakitangan agensi Islam dapat cuti tanpa rekod

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM:
Kakitangan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terlibat dengan bencana banjir mendapat cuti tanpa rekod sehingga keadaan rumah bersih seperti sedia kala.

Menterinya, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, cuti tanpa rekod itu dilaksanakan segera kepada kakitangan di agensi-agensi Hal Ehwal Agama Islam.

“Saya arahkan semua agensi Islam Bahagian Hal Ehwal Agama dari kalangan kakitangan terlibat banjir dan juga yang membantu mangsa-mangsa banjir diberi cuti tanpa rekod untuk membantu saudara mara yang ditimpa bencana banjir,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian sumbangan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kota Kemuning 2, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, agensi agama memfokuskan soal membantu mangsa-mangsa banjir.

Kata Idris, pihaknya berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM7 juta dan telah diberikan kepada mangsa-mangsa banjir.

Selepas pasca banjir ini kata beliau, sukarelawan daripada Jabatan Amal Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia serta NGO lain memerlukan water jet untuk membersihkan rumah.

Seramai 1,400 orang terlibat dengan banjir dan 59 orang tinggal di pusat penempatan sekolah Kebangsaan Bukit Kota Kemuning 2.

Bilangan keluarga seramai 14 buah keluarga, kanak-kanank 16 orang, dewasa 43 orang. Mangsa banjir dari Kampung Lombong seramai 50 orang manakala dari Taman Sri Muda seramai sembilan orang.

Beliau berharap semua mangsa banjir bersabar dengan ujian daripada Allah SWT itu. – HARAKAHDAILY 25/12/2021

- Advertisement -