
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Seramai 300 sukarelawan bersama 40 kenderaan berlepas ke Selangor untuk Misi Khidmat Masyarakat, Bantuan Banjir Kerajaan Negeri Kedah membantu mangsa banjir, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan lain turut bersama dalam misi ini untuk membantu meringankan bebanan mangsa banjir di Selangor.
Bahkan katanya, sebahagiannya telah berada di lokasi sejak semalam dan beberapa hari lalu serta menghantar aset-aset dan petugas sejak hari pertama negeri itu dilanda musibah banjir.

“Hari ini seramai 300 sukarelawan akan ke Selangor bersama 40 kenderaan. Ada yang sudah berlepas semalam kerana mengelakkan kesesakan lalu lintas,” jelas beliau pada sidang media pelancaran pelepasan Misi Khidmat Masyarakat, Bantuan Banjir Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau mengucapkan tahniah dan berterima kasih atas kerjasama semua pihak termasuk pegawai tinggi kerajaan yang menyahut seruan menyertai misi kali ini dan budaya tolong menolong sebegini wajar diteruskan demi meringankan bebanan pihak yang terlibat.
“Budaya sihat ini subur di kalangan rakyat malaysia di mana-mana sahaja, yang ditimpa musibah dan bencana akan ada golongan lain menghulurkan bantuan dan ringankan beban.
“Ini budaya baik yang semakin subur di negara kita.Bukan sahaja dapat mengurangkan beban malah mengurangkan kos pihak yang terlibat.
“Malah sukarelawan Kedah (Khidmat Malaysia) sudahpun berada di negeri itu sejak dua tiga lalu melalui kawasan masing-masing,” ujar beliau lagi.
Maklumnya lagi, konvoi sukarelawan khidmat masyarakat ini akan ditempatkan di Kajang dan ditentukan oleh pihak Setia Usaha Kerajaan (SUK) Selangor lokasi bertugas.
Beliau sendiri akan ikut serta misi terbabit esok (26 Disember) dan melakukan gimik penyerahan mok cek kepada SUK Selangor pada Ahad, 27 Disember.
Katanya, sumbangan RM200,000 yang diumumkan beberapa hari lalu telahpun diserahkan kepada Kerajaan Selangor sebelum ini.
Sementara itu, LZNK turut menyumbang beras dan keperluan bahan mentah untuk penyediaan makan minum petugas Misi Khidmat Masyarakat, Bantuan Banjir Kerajaan Negeri Kedah sehingga 28 Disember ini.
LZNK juga telah menyediakan trailer beras dan klinik bergerak untuk mangsa banjir di Selangor sejak beberapa hari lalu. – HARAKAHDAILY 25/12/2021











