Redah kesesakan demi bantu mangsa banjir

Idris Ahmad menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Seri Nanding, Hulu Langat, petang semalam.
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

HULU LANGAT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas luar biasa ketika dalam perjalanan ke tapak pengagihan bantuan banjir di Nanding, Hulu Langat gigih meredah kesesakan dengan membonceng motosikal.

Pada awalnya, Idris menaiki pacuan empat roda bersama pegawainya untuk menuju ke tapak pengagihan pada hari kejadian, petang Rabu.

Bagaimanapun, bantuan tiba dengan pertolongan daripada seorang anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) datang mengambil beliau dengan menaiki motosikal.

- Advertisement -

Idris menyifatkan rakyat Malaysia tidak mengira agama atau bangsa memiliki sifat prihatin terhadap musibah yang berlaku di negara ini.

“Kita tidak jangka apa yang berlaku di Selangor. Di sebelah Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu (banjir) itu biasa.

“Insya-Allah, ada hikmah tersurat dan tersirat. Kita harapkan semua mangsa banjir dapat bersabar terhadap musibah yang berlaku. Semoga ianya dapat memberikan pengajaran dan iktibar kepada kita semua,” katanya.

Idris turut memaklumkan sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan untuk membantu mangsa yang terbabit bencana banjir.

Selain itu, pasukan Skuad Musa’adah Agensi Agama telah digerakkan ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa-mangsa terlibat.

Agensi di bawah kementeriannya turut menyediakan bantuan seperti kit solat, makanan bermasak, bahan makanan kering seperti biskut dan milo. Selain itu, toto, kain pelikat, selimut dan tuala turut disampaikan.

Bantuan berkenaan diserahkan kepada seramai 219 mangsa melibatkan 50 keluarga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Seri Nanding, Hulu Langat.

“Bantuan yang disediakan ini membabitkan daripada JAKIM, JAWI, Tabung Haji, Yayasan Waqaf, Yayasan Taqwa, YADIM untuk kita berikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini dan Pahang untuk kita mengagihkan sedikit sebanyak sumbangan,” katanya yang melawat mangsa banjir di PPS terbabit.

Mengulas lanjut Idris berkata, Perdana Menteri memberi perhatian serius dalam perbincangan mesyuarat kabinet berkenaan bencana banjir dan pasca selepas banjir.

“Kita harapkan semua menerima dan boleh bertindak dengan baik sama ada kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat dan juga NGO-NGO serta orang awam yang telah memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Pada Sabtu lalu, hujan sangat lebat berterusan selama dua hari mengakibatkan sebahagian Selangor ditenggelami air.

Selain Shah Alam, Hulu Langat antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang dianggap bencana terburuk telah mulai surut daripada air banjir pada Isnin.

Pada hari kejadian pagi Ahad, kira-kira 100 penduduk di Nanding menyelamatkan diri di atas bumbung surau apabila air mencecah ke paras bumbung rumah mereka.

Kesan arus deras banjir mengakibatkan laluan masuk ke kawasan kampung dan puluhan rumah penduduk rosak teruk.

Kelihatan puluhan kenderaan berpusu masuk ke kawasan yang dibadai bah seperti tsunami menyebabkan laluan sepanjang ke destinasi tapak pengagihan sesak dengan kenderaan.

Mengulas lanjut pegawai khas Idris, Muhammad Al-Zubair Ahmad Yusoff berkata, dia turut membonceng motosikal sukarelawan untuk ke pusat pengagihan banjir terbabit.

“Difahamkan ada sekumpulan rider yang menjadi sukarelawan untuk membantu mereka yang nak masuk ke kawasan ini tanpa kenakan bayaran.

“Mereka juga membantu membawa bantuan makanan kepada mangsa di sana.

“Saya kagum dengan keprihatinan dan kebaikan orang kita,” kata Zubair. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -