
JERANTUT: Ramai penduduk yang menjadi mangsa banjir di ke Kuala Tembeling pulang ke kediaman masing-masing selepas paras air banjir surut semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, mangsa banjir terbabit termasuk Kampung Sepial, Kampung Lahang dan Kampung Masjid.
“Saya ke Kuala Tembeling bagi menyantuni, bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada penduduk yang terlibat dengan banjir dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mereka berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan Kuala Tembeling pada 19 hingga 21 Disember lepas. Semoga Allah Taala mengurniakan pahala buat mereka di atas ujian tersebut,” katanya pada perkongsian di laman sosialnya.
Baru-baru ini air Sungai Tembeling dan Sungai Gusai melimpah ke perkampungan yang terletak di tebing sungai terbabit.
Sungai Tembeling merupakan pintu masuk ke Taman Negara didapati Pulau Agoh yang di tengah sungai tersebut ditenggelami air baru-baru ini.
Begitu juga jeti Kuala Tahan ditenggelamkan air ekoran peningkatan paras sungai. Banjir juga melimpah di Kampung Bantal, mukim Hulu Tembeling.

Dalam perkembangan berkaitan Mohd Zakhwan turut merakam ucapan menjunjung kasih atas perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli melawat beberapa PPS di Jerantut.
Antara PPS diziarahi baginda Sekolah Kebangsaan (SK) Teh dan SK Pedah yang terletak di Dun Tahan.
“Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir yang berada di PPS tersebut.
“Ini menzahirkan sikap keprihatinan dan kecaknaan Tuanku atas kesusahan dan musibah yang menimpa rakyat Pahang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/12/2021











