
KUANTAN: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang menggerakkan program Dapur Rakyat selama lima hari bermula 22 hingga 26 Disember ini pada program Yadim Peduli.
Pengarah YADIM Pahang Mohamad Hazmi Dibok berkata, YADIM Pahang dengan kerjasama Khidmat Malaysia, Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Pahang dan Pejabat ADUN Panching menggerakkan Dapur Rakyat semalam.
Katanya program itu diadakan di PASTI An-Nur Kampung Permatang Badak Kuantan.
“Program secara gotong-royong menyasarkan menyediakan makanan sebanyak 700 pek sehari untuk diagihkan kepada warga mangsa banjir berdekatan,” katanya pada catatan di laman sosial YADIM hari ini.
Menurutnya program itu bermula jam 8 hingga 5 melibatkan aktiviti membeli barangan keperluan memasak, merewang, memasak, menghidang, membungkus dan mengagihkan ke perumahan atau perkampungan yang terlibat banjir.
Kata beliau bungkusan diagihkan kepada keluarga mangsa banjir, frontliners dan sukarelawan yang membantu mangsa banjir.
Turut bersama dalam program tersebut Yang Dipertua YADIM Nasruddin Hasan
Dan Adun Panching Mohd Tarmizi Yahaya.
Mohamad Hazmi juga berkata, orang ramai yang berminat turut bersama membantu dan menyumbang boleh menghubungi YADIM Pahang.
Menurutnya juga daerah Kuantan mencakupi penduduk Parlimen Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar diuji banjir yang agak besar minggu ini.
Ia melibatkan perkampungan Beserah, Perumahan Bukit Rangin, Pandan, Cendering, Permatang Badak, Pekan Sungai Lembing, Felda Sagu 7, Sungai Isap, Batu 3, Kampung Kurnia, Taman Guru.
Selain itu Perumahan Inderapura, Inderasempurna dan Jalan Gambang antara kawasan yang terlibat dengan banjir. – HARAKAHDAILY 23/12/2021











