
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) Fasa Satu dari Pengkalan Kubor ke Lemal Lanchang kini siap 44 peratus.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Ir Kamal Mustapha berkata, projek merentasi 26 kilometer sepanjang Sungai Golok itu dijangka siap sepenuh pada 2023.
Walaupun pembinaan itu yang turut meliputi naiktaraf jalan raya dan pembinaan 12 pos keselamatan, PLSB mampu mencegah banjir berlaku setiap tahun.
“Fasa pertama hanya melibatkan Pengkalan Kubor dan Lemal Lanchang sahaja, yang akan menyelamatkan jajahan Tumpat daripada limpah air dari Sungai Golok.
“Keseluruhan projek untuk fasa satu kita jangka siap pada 2023, dilengkapi dengan ketinggian ban, jalan sudah siap namun belum tidak ditar lagi,” katanya temubual bersama Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri hari ini.
Progam episod 19 itu memfokus Pengurusan Sistem Pengairan dan Saliran Kelantan.
PLSB Fasa Satu melibatkan Tebatan Banjir Sungai Golok sepanjang 26 kilometer, Ban Sungai Lemal Lanchang sepanjang 19.84 km, Ban Sungai Mentua Bunding (8.1 km).
Ir Kamal juga berkata, JPS Kelantan tidak akan menunggu lama untuk melaksanakan PLSB fasa dua selepas fasa satu yang bernilai RM465 juta siap sepenuhnya.
Kata beliau juga kampung-kampung termasuk Gual Periok, Lemal Lanchang, Pekan Rantau Panjang dan kawasan sekitarnya merupakan kawasan yang paling terjejas dengan bencana banjir sekarang.
“Bagi mengatasi masalah itu kontraktor merangka langkah-langkah sementara dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas bagi mengatasi masalah itu.
“Kita harap penduduk dapat bersabar sebab mereka menerima impak paling teruk kerana air Sungai Golok sentiasa melimpah masuk ke kampung mereka kerana ban belum siap lagi.
“InsyaAllah tahun depan ini kita akan cuba cari langkah sementara, kita sudah kenal pasti puncanya untuk pastikan kejadian banjir ini tidak berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2021











