Penubuhan Dewan Ulamak PAS semarakkan perjuangan

- Advertisement -

KAMPAR: Dewan Ulamak PAS Kawasan Kampar telah berjaya ditubuhkan dengan rasminya setelah selesai mesyuarat penubuhannya yang diadakan di Dewan Haji Khusaini, Markas PAS Kampar di sini, kelmarin.

Pendaftarannya sebagai dewan di peringkat PAS Kawasan adalah sebahagian daripada evolusi dan dinamisme kewujudannya sejak pertama kali pada 1952 di mana diluluskan dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Kuantan.

- Advertisement -

Bendahari Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Sofian Rejab berkata, penubuhan tersebut diharapkan mampu memandu, mengawal dan menasihati PAS Kawasan agar segala aktiviti dan gerak kerja jemaah sentiasa menepati dasar al-Quran dan As-Sunnah.

Tambah beliau ketika perasmian itu, Dewan Ulamak PAS Kawasan perlu memainkan peranan secara teliti dan proaktif dalam menghimpunkan para asatizah, alim ulama dan tuan guru di kawasan Kampar bagi membantu gerak kerja Islam. 

Ketua Dewan Ulamak PAS Kampar, Ustaz Tadri Mazir selaku jawatankuasa penaja di dalam ucapannya menegaskan bahawa para ilmuwan dan pendakwah di Kawasan dan Cawangan mesti dihimpunkan di bawah organisasi ini. 

Seru beliau, ia dalam usaha menggerakkan pelaksanaan agenda dakwah serta tarbiyah kepada masyarakat secara lebih tersusun dan terancang.

Turut hadir memeriahkan majlis yang bersejarah itu ialah pimpinan PAS Kampar, pimpinan Dewan Muslimat PAS Kampar, pimpinan Dewan Pemuda PAS Kampar dan para asatizah setempat. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -