Markas PAS jadi pusat sehenti bantuan banjir

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto ANUAR IBRAHIM

MASJID TANAH:
Markas PAS Kawasan Masjid Tanah yang terletak di Jalan Hujan Panas akan dijadikan pusat sehenti bagi bantuan banjir, kata Yang Dipertuanya, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Menurut beliau, ini susulan daripada bencana banjir yang melanda beberapa kawasan dalam Parlimen Masjid Tanah akibat daripada hujan lebat berterusan bermula Jumaat hingga Sabtu lepas.

“Kita dah buat satu keputusan untuk jadikan Markas PAS Kawasan Masjid Tanah sebagai pusat bantuan. Begitu juga tenaga sukarelawan boleh lapor dekat Markaz PAS Jalan Hujan Panas.

- Advertisement -

“Insya-Allah kita akan terima bantuan dan gerakkan pusat sukarelawan untuk kawasan ini. Sebab kali ini yang teruk sekali berlaku di DUN Ayer Limau ini,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Lubok China di SMK Lubok China, di sini, hari ini.

Beliau turut menzahirkan simpati di atas apa yang telah menimpa penduduk-penduduk di kawasan itu dan mendoakan agar segalanya pulih seperti sedia kala.

“Ini kuasa Allah SWT dan kita terima dengan sebaik mungkin. Insya-Allah Masjid Tanah akan mendapat suatu yang terbaik selepas ini. Ini rahsia Allah SWT.

“Saya yakin Allah SWT nak bagi kita sesuatu yang lebih baik. Sebagai seorang yang beriman kita terima takdir ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Norihan Bahari berkata, pusat khidmat ahli parlimen itu telah mengedarkan makanan kepada rumah-rumah yang terlibat dengan banjir.

“Semalam kita telah mengedarkan 500 bungkus makanan kepada penduduk Taman Wira Mas dan juga di masjid. Hari ini kita bersama dengan PAS Melaka dan juga PAS Masjid Tanah, mengagihkan makanan kepada yang terputus bekalan sejak daripada banjir hari tu.

“Hari ni kita turun lagi untuk melihat apa yang perlu. Setakat ni keperluan cukup. Cuma mereka ada bisikan pada saya meminta bantuan sukarelawan untuk mengemas rumah,” ujarnya.

Menurut Norihan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah juga ada memohon bantuan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir termasuk juga daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, Timbalan Pesuruhjaya 1, Bakri Jamaluddin.

Terdahulu rombongan itu telah mengedarkan bantuan makanan sumbangan Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah ke beberapa buah rumah yang terjejas dengan banjir di beberapa kawasan di Lubok China. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -