Semua pihak perlu bersatu bantu mangsa banjir

- Advertisement -

GOMBAK: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengingatkan rakyat khususnya mangsa banjir supaya redha dengan ujian yang dihadapi sekarang.

Dalam masa yang sama, kata beliau, semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama untuk membantu rakyat yang ditimpa bencana alam.

Katanya, banjir besar yang melanda negeri Selangor dan Kuala Lumpur memang tidak diduga.

- Advertisement -

“Dalam keadaan sekarang ini jangan menyalahkan mana-mana pihak. Kita kena bersatu, bantu membantu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi ziarah mangsa banjir di Kampung Sungai Chincin, Batu 7¾ di sini, petang ini.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Assabiqat PAS Pusat, Hajah Khadijah Mahmod, Yang Depertua PAS Kawasan Gombak, Ustaz Salahudin Nasir serta pimpinan PAS kawasan.

Beliau menyampaikan sumbangan makanan kering kepada 10 buah rumah mangsa yang teruk dilanda banjir. 

Hujan lebat pada malam tadi telah menyebabkan Kampung Sungai Chincin ditenggalami air paras lutut. 10 buah keluarga telah dipindahkan ke penempatan sementara di Sekolah Rendah Integrasi Gombak. 

Jabatan Amal Gombak telah membuat pembersihan rumah yang dilanda banjir lumpur bermula pagi tadi dan berakhir selepas Asar. – HARAKAHDAILY 19/12/2021

- Advertisement -