Gebeng bandar aeroangkasa perlu keupayaan sumber manusia

- Advertisement -

KUANTAN: Gebeng yang dirancang menjadi bandar aeroangkasa perlu dipersiapkan dengan keupayaan sumber manusia agar tidak timbul jurang dalam menguruskan teknologi tersebut kelak, demikian peringat Andansura Rabu (PAS-Beserah).

- Advertisement -

“Kita nak orang yang pandai ini tapi (saya risau) tiada. Maka saya harap institusi pengajian dan pendidikan yang ada di Kuantan diberikan keutamaan untuk menganjurkan bidang-bidang yang berkaitan teknologi.

“Termasuk aeroangkasa supaya bertepatan dengan apa yang kita hasratkan,” kemukanya semasa membahas Belanjawan 2022 Pahang pada Persidangan DUN di Wisma Sri Pahang, di sini minggu lalu.

Persiapan sumber tenaga itu juga tegasnya penting bukan sahaja untuk memenuhi keperluan industri dan masa depan, tetapi juga selari dengan naik taraf Gebeng sebagai daerah kecil agar mampu memberi sumbangan ekonomi.

Beliau turut menarik perhatian Dewan terhadap agenda keseimbangan pemuliharaan kelestarian alam sekitar di mana sebagai kawasan industri, Gebeng akan menjadi hub pengangkutan Pantai Timur.

“Kita bimbang, kerana terlalu teruja untuk membangun industri kita terlupa untuk memulih dan memulihara alam sekitar,” peringat beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Andansura turut menyentuh mengenai usaha memacu Kuantan hingga berjaya mencapai naik taraf sebagai bandaraya di mana mestilah tidak tertumpu kepada kemajuan dan pendapatan, tetapi wajib mengutamakan rakyat.

Beliau berharap isu-isu atau kes melibatkan peraturan ke atas rakyat mendapat pertimbangan budi bicara yang berhikmah agar tidak berlaku tekanan atau penganiayaan ke atas mereka oleh tindakan penguatkuasaan berkaitan. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -