Gubal undang-undang tangani isu buli di sekolah

- Advertisement -

PASTINYA ramai yang melahirkan rasa marah, kecewa dan geram apabila tersebarnya video seorang pelajar yang dibuli di asrama oleh sekumpulan pelajar senior yang berlagak seperti samseng sekolah.

Walaupun polis dilaporkan telah menahan empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berkaitan kes buli secara kekerasan ini namun ia belum lagi meredakan kebimbangan dan keresahan para ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak di asrama.

- Advertisement -

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut laporan polis.

Kita masih belum dapat melupakan kes kematian melibatkan seorang penuntut UPNM (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) almarhum Zulfarhan Osman yang meninggal dunia akibat tindakan buli dan penderaan empat tahun lalu.

Berat hati dan perasaan ibu bapa dan penjaga bila melihat anak mereka dibuli sehingga mengakibatkan kecederaan mental dan fizikal, malah ada membawa kepada kes kematian.

Sudah tiba masanya kerajaan melihat perkara ini sebagai isu paling serius dan perlu ditangani melalui pelaksanaan undang-undang yang lebih keras.

Baru-baru ini di Perancis, pelajar sekolah yang membuli pelajar lain sehingga mangsa mengambil tindakan bunuh diri atau melakukan cubaan bunuh diri boleh dipenjara sehingga 10 tahun di bawah rang undang-undang baharu yang sedang dipertimbangkan di Perancis.

Parlimen Perancis dilaporkan sedang memeriksa draf rang undang-undang tersebut yang mendapat sokongan daripada Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer.

Cukup-cukuplah kita membiarkan anak-anak menjadi mangsa buli di asrama. Kita tidak mahu ada lagi ibu bapa dan penjaga mengalirkan air mata kerana anak mereka menjadi mangsa buli. 

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang – HARAKAHDAILY 13/12/2021

- Advertisement -