
Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
PESAWAT Kam Air meredah langit ke Herat, Kota kedua terbesar di Afghanistan. Perjalanan panjang kami bermula, dihitung secara kasar maka 48 jam akan kami habisi dalam berlanglang buana di beberapa buah negara sebelum mencecah ke KLIA. Puncak banjaran gunung Khorst meninggi kelihatan daripada cermin tingkap pesawat, awan putih di puncak seperti selonggok kapas kekabu. Langit kebiruan seperti sapuan warna yang lengkap daripada ciptaan Tuhan yang Maha Gagah Perkasa.
“Bagus juga kita melalui jalan darat yang jauh, boleh kita melihat dengan mata sendiri, Afghanistan yang real,” hujah Zulkifli Wahijan, amir perjalanan panjang kami.
“Ana untuk next misi, kalau tak ada flight mungkin tak mari dah…ana sibuk Dan padat jadual program sebenarnya,” tukas Senator Apandi Mohammad. Pebisnis merangkap ahli politik ini. Anak kelahiran Kelantan ini tak lokek dengan wang dalam kocek, kami banyak kali dibelanja makan tanpa soal.
“Makan..makan…Doha Qatar ana belanja semua…takde hal bab makan,” suaranya berbaur riang dengan lagak ahli politik tipikal yang kita temui. Dia paling ‘abang’ antara kami, selalu menghilang ke tandas dan muncul kembali dengan suara riang ria menceriakan kami.
Aku dimarahi YB Senator kerana tidak cam bagasi sendiri, aku mempertahankan diri dengan alasan selama belasan tahun (17 tahun) aku dijagai oleh PA. Segalanya dijaga rapi seperti tuan besar, antara mantan pembantuku ialah Ustaz Taufik Yusuf, kini seorang usahawan berjaya di Lembah Klang.
Pesawat Kam Air meredah awan dan akalku menerawang jauh, teringat akan beberapa lokasi penempatan masyarakat tempatan Afghanistan yang kami santuni. Keterpurukan dan kemiskinan adalah latar peperangan panjang selama empat dekad, kami sempat melihat mereka menggunakan tangan semasa menampal dinding rumah yang dibina. Melihat najis lembu yang dikeringkan, malah rumah tanpa pengudaraan yang sesuai untuk penghuni.

Semàsa acara agihan baju sejuk kepada masyarakat jembel, guratan wajah mereka kelihatan sangat bahagia. Kelihatan petugas keselamatan tak rasmi serta relawan tempatan begitu sukar untuk mendisiplinkan penerima bantuan. Aku sesekali terkedu. Memang aneh ciptaan Tuhan, sejuk mencengkam namun kulit orang Afghanistan yang aku temui sangat lasak. Aku menatap kanak- kanak tak berkasut menyeringai senyum apabila disarungkan baju sejuk buatan China.
Teringat juga apabila menyantuni masyarakat tempatan di Logar, oleh kerana daerah mereka agak jauh daripada kota, tahap kesusilaan mereka lebih santun. Aku dan teman-teman relawan mengagihkan bua-buahan, walaupun epal tempatan namun naluri anak kecil tetap ingin mengecapi nikmat diberi hadiah percuma.
“Tak ada beza mana dengan zaman kita kanak-kanak, beratur untuk mendapatkan duit raya atau agihan coklat…dah memang tabiat kanak-kanak,” aku cuba mengharmonikan diri setiap kali mereka berdesakan serta mengasak untuk mengambil makanan atau belon.
“Cantik sangat anak-anak Afghanistan, ustaz…bawa balik seorang, bagi akak jaga mereka, jadikan anak angkat,” sapa seorang rakan FB aku apabila menatap gambar yang bergentayangan di medsos. Aku malas untuk menjawab kerana skema jawaban terpaksa aku ulangi. Tak mudah urusan membawa pulang anak ini ke Malaysia. Anak-anak Gaza, Syria, Afghanistan bak patung indah nian, bebola mata mereka tak terkalah dengan kanak-kanak di Eropah, malah lebih anggun bagiku.
Namun jujurkah kita semua, bila aku bermisi di benua Afrika atau di khemah pengungsian Rohingya tiada permintaan untuk mengambil anak angkat terbiar! Kondisi yang buruk di negara yang mengalami peperangan kadang menjadikan satu kekuatan budaya bila mereka berhijrah ke Malaysia yang aman damai. Di zaman kampus dahulu, ada kes pelajar Bosnia bermukah serta melakukan perkara yang memalukan sebagai seorang Muslim. Banyak lagi kes lain yang berlaku, namun aku redamkan perasaan ini dalam kamus hati yang dikunci rapat.
Afghanistan melalui fasa panjang ketidakstabilan negara akibat peperangan serta pelbagai masalah hiliran yang lain mencampakkan kesan yang besar kepada pembinaan generasi. Seramai hampir dua juta anak yatim di seluruh negara itu dan bayangkan jika NGO antarabangsa dibenarkan masuk berkhidmat menyantuni masyarakat tempatan. Apa yang pernah berlaku di Acheh pasca tsunami di penghujung tahun 2004 dahulu, gerakan swadaya Kristian berlumba mensasarkan anak yatim sebagai sasaran baru mereka. Kerajaan Indonesia tegas akhirnya, tidak membenarkan anak yatim Acheh dibawa keluar negara itu. Itulah yang terjadi dalam krisis kemanusiaan di Afrika apabila anak yatim Muslim akhirnya dibaptiskan.

Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan memberikan perhatian kepada kelompok ibu tunggal serta anak yatim dengan mewujudkan kementerian yang bertanggungjawab terhadap mereka. NGO Afghanistan seperti HAS, ELSAS juga turut menyumbang kepada pemulihan jiwa anak yatim serta ibu tunggal dengan mengadakan pelbagai program untuk mereka. Mereka juga mempunyai senarai nama penerima bantuan bulanan, juga bantuan tidak berkala malah pejabat pentadbiran mereka juga sering didatangi oleh asnaf.
Afghanistan dengan sisi terang dan gelap sekali pun wajib dibantu oleh umat Islam di pelbagai struktur sosial. Masyarakat antarabangsa perlu menghulur bantuan segera terhadap Afghanistan, mengeluarkan mereka daripada Krisis kemanusiaan, kelaparan bahkan kesenjangan ilmu dengan masyarakat luar negara itu. Membiarkan Afghanistan terpuruk ke belakang bermakna kita menyediakan segudang masalah lain yang lebih besar. Perubahan skala mega negara itu juga perlu dimulakan dengan membantu proses pengilmuan masyarakat terutama anak-anak yang rata-ratanya adalah asnaf yang terperangkap dalam lingkaran ganas kemiskinan. – HARAKAHDAILY 29/11/2021
Penulis adalah anggota misi kemanusiaan Afghanistan Muslim Care Malaysia pendakwah bebas dan penulis.











