
MASJID TANAH: Calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad, berharap supaya pengundi yang tinggal di luar kawasan Dun itu dapat pulang menjalankan tanggungjawab Sabtu ini.
Menurutnya, jika pengundi Kuala Linggi mahukan perubahan dan sebuah kepimpinan yang berwibawa, bersih, dan berintegriti, mereka perlu menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin pada hari pengundian 20 November ini.
“Saya harap pengundi Kuala Linggi dapat keluar beramai ramai untuk mengundi, sama ada di luar dari Kuala Linggi, atau di luar Melaka, balik mengundi menjalankan tanggungjawab.
“Mudah-mudahan dengan apa yang mereka lakukan, dapatlah memilih pemimpin yang berwibawa, bersih dan berintegriti, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily semasa berkempen di Pasar Malam Kuala Sungai Baru,Kuala Linggi, hari ini.
Lebih kurang 24 jam lagi masa berkempen kata Aziah, kini beliau hanya menumpukan perhatian kepada sentuhan akhir untuk menyentuh hati pengundi.
Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuka pintu hati pengundi dan percaya hanya Allah SWT yang akan membuka hati pengundi Kuala Linggi untuk membuat perubahan pentadbiran di sini.
“Mudah-mudahan mereka boleh buat perubahan, dan saya harapkan juga pengundi di Kuala Linggi bijak untuk memilih.
“Bersama dengan Cikgu Aziah menggalas perubahan dan mengembalikan kegemilangan Kuala Linggi. Undilah Perikatan Nasional,” katanya.
Selain beliau, tujuh lagi calon daripada PAS yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional ialah Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).
Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 18/11/2021











