‘Belum pernah saya menitiskan air mata sebegini’

- Advertisement -

MELAKA: “Belum pernah lagi saya menitiskan air mata sebegini. Bila teringat pengorbanan arwah ibu, pasti menitis air mata saya,” kata Bakri Jamaluddin.

- Advertisement -

Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dun Kelebang itu berkata, beliau lahir daripada keluarga yang susah.

Menurut Bakri, abangnya terpaksa berhenti belajar untuk membantu beliau menyambung pelajaran.

“Setiap kali saya bangun belajar sehingga 3 pagi, ibu saya sanggup tunggu saya.

“Sampai satu masa, ibu bagi semangat kepada saya, dia rendam kaki saya supaya saya tidak mengantuk,” ujarnya menerusi hantaran yang turut disertakan rakaman video di laman Facebook beliau sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, itulah pengorbanan arwah ibunya yang beliau tidak akan lupa.

Tambahnya, beliau berjaya pada hari ini juga atas doanya.

“Ibu saya selalu pesan, kalau dah senang nanti, kena ingat orang susah, kena bantu mereka,” katanya lagi.

Beliau menambah, pesanan ibunya itu tidak pernah dilupakan.

“Sekiranya saya diberi rezeki menjadi pemimpin di Kelebang nanti, golongan B40 inilah yang akan saya bantu terlebih dahulu. Saya faham kesusahan mereka kerana saya juga bermula dari situ.

“Insya-Allah, saya akan bersama warga Kelebang merealisasikannya. Kelebang sejahtera harapan kita Bersama,” ujarnya.

Selain beliau, tujuh lagi calon daripada PAS yang bertanding atas tiket Perikatana Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -