
MELAKA: Penduduk Taman Sri Tuah Permai menuntut penjelasan pihak bertanggungjawab berhubung isu tanah mendap yang dihadapi mereka sejak sekian lama mereka mendiami perumahan itu.
Mohammad Fadhli, 36, berkata, dia membeli rumah tersebut pada tahun 2013 dengan harga RM249,000 dan kini membayar RM1,500 secara bulanan.
Selepas dia mendiami rumah tersebut lima tahun lalu, dia mendapati berlaku keretakan pada dinding rumahnya serta lantai simen berlubang setelah beberapa bulan menduduki rumah berkenaan.
Bimbang tentang keselamatan dirinya dan keluarga, beliau yang mesra dipanggil Pali cuba mencari solusi bersama penduduk setempat untuk mengatasi masalah berkenaan dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak bertanggungjawab.
Aduan tersebut menerima maklum balas dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan meminta pihak pemaju membuat soil test di kawasan berkenaan.
Kata Pali, walaupun setelah menerima arahan berkenaan, pemaju hanya menjalankan probe test yang menurutnya tidak berlaku seperti arahan KPKT.
Lebih mengecewakan katanya, semasa probe test dijalankan, perbualannya bersama pekerja yang menjalankan penilaian itu mendapati berlaku pergerakan air di bawah kawasan perumahan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, surat yang diterima dari PBT, iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengatakan sebaliknya.
Tidak berputus asa, Pali beberapa kali cuba untuk menuntut hak sebagai pemilik rumah dengan membuat perbincangan dan membawa isu tersebut kepada pihak bertanggungjawab.
Pali bahkan sudah pun bertemu dengan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Bagaimanapun, kata Pali jawapan yang diberikan mengecewakannya apabila dia diminta untuk melantik peguam mewakilinya dan penduduk untuk mencabar pemaju.
“Saya mesyuarat bawa isu ini dari 2016, ketika itu Durian Tunggal diwakili Datuk Ab Wahab Ab Latif, mesyuarat sampai pilihan raya umum (PRU). Naik wakil baru, Datuk Mohd Sofi Wahab, tak selesai juga.
“Dia suruh saya lantik peguam, kenapa saya hendak buat aduan kalau saya mampu untuk melantik peguam? Saya buat aduan kerana saya tidak mampu untuk bayar peguam dan mencabar pemaju,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.
Ditanya mengenai pampasan yang ingin dituntut kepada pemaju, katanya, dia dimaklumkan Mohd Sofi telah bertemu pemaju untuk membincangkan hal itu.
Katanya, pertemuan di antara wakil rakyat dan pemaju tanpa menjemput penduduk itu mengecewakannya.
Malah, Pali dimaklumkan hanya boleh menuntut pampasan berjumlah RM2,000 daripada jumlah pampasan minimum berjumlah RM150,000.
Menurutnya lagi, hasil dari aduannya, terdapat beberapa kali pekerja binaan datang untuk membaiki kerosakan yang berlaku akibat tanah mendap di situ.
Namun katanya, pembaikan dilakukan tanpa pantauan dari pihak bertanggungjawab selain tiada notis awal dikeluarkan untuk pembaikan itu.
“Sepatutnya apabila mahu buat pembaikan, perlu ada pemantauan dari pihak berkuasa, dan MPHTJ perlu keluarkan surat kepada setiap rumah untuk maklumkam ada pihak akan datang baiki rumah daripada pihak majlis.

“Tetapi sekarang, apabila masa pembaikan, tiada surat pemakluman, dia main buat sahaja, ini salah dari aspek perundangan.
“Tetapi saya terima sahajalah bila ada orang hendak baiki rumah saya, terdesak sangat lihat keadaan rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021











