Resah bila hujan turun, bimbang rumah dinaiki air

Air memasuki rumah penduduk semasa banjir sebelum ini.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA:
Tiga kali dilanda banjir sepanjang Mei hingga November tahun ini, penduduk Taman Sri Tuah Permai, Durian Tunggal, A S Atbevisnu Nair Atchuthan, 35, kini resah apabila setiap kali hujan.

Menurut Atbevisnu, sepanjang enam tahun beliau mendiami di kawasan perumahan itu, tahun ini merupakan tahun yang kurang bernasib baik bagi dirinya dan keluarga apabila mereka terpaksa berdepan dengan banjir buat pertama kalinya pada 17 Mei lalu.

Kemudian, perumahan itu dilanda banjir untuk kali yang kedua pada 20 Oktober lalu, dan kali terakhir ialah pada 1 November lalu.

- Advertisement -

Atbevisnu terpaksa menanggung kerugian akibat banjir yang memusnahkan perabot di dalam rumahnya, malah kenderaan beliau juga mengalami kerosakan dan kini sedang dibaiki.

Selain itu, dia turut memindahkan keluarganya dari kediaman berkenaan disebabkan bimbang sekiranya kawasan tersebut kembali banjir.

“Masa hujan hanya satu jam, air naik sampai ke lantai garaj kereta, tapi yang hujan sepanjang empat jam, memang air naik sampai dalam rumah ke paras lutut.

“Masa itu, paras air banjir di luar rumah, memang hampir sampai paras pinggang,” kata Atbevisnu ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Menurutnya, beliau percaya banjir itu berlaku bukan sahaja disebabkan faktor hujan lebat, namun juga disebabkan sistem perparitan yang tidak sistematik.

Katanya, pada laluan air yang sama berhadapan rumahnya juga merupakan laluan lepasan empangan air selain merupakan laluan anak sungai dan sistem perparitan bagi taman berkenaan.

Selain itu, faktor sistem perparitan tidak diselenggara juga menjadi faktor utama punca banjir.

“Mungkin banyak sangat bangunkan kawasan perumahan, sampai kawasan yang biasanya air bertakung pun semua sudah menjadi kawasan perumahan.

“Habis semua tempat ditambak tanah, kemudian  tutup (kawasan tadahan), saliran semakin sempit dan semua salirah air alih datang sini.

“Masalahnya, apabila dia tutup saliran air tempat lain, semua air datang ke sini, kemudian ada satu sahaja saliran yang menyokong semua air tadi.

“Apabila mula hujan, air mula naik. Hujan dua jam, air sudah naik separuh longkang, kemudian lubang itu semua akan tutup, kemudian saya lihat ada batu jatuh dalam (longkang) itu, jadi overflow lah,” katanya.

Kesal dengan situasi itu, Atbevisnu berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melakukan sesuatu menyelesaikan situasi itu.

Atbevisnu berharap sistem saliran air di kawasan perumahan itu dapat dinaik taraf dan pengagihan saliran air dilakukan mengikut kapasiti sokongan saliran air yang sesuai.

Dia juga berharap PBT dapat membersihkan saluran air di situ yang kini dipenuhi selut, semak samun dan pecahan simen.

“Saya mahu mereka besarkan saliran air untuk keluar sebab memang sempit dengan kapasiti air yang banyak.

“Air empangan yang dilepaskan, air hujan lagi, kalau lalu sini memang tak dapat nak tampung dengan saluran sedia ada ini.

“Kalau hujan, air akan lintas jalan besar depan ini, sangat laju sebab tak muat saluran dan saliran sedia ada.

“Saya mahu mereka bersihkan semua saluran air di sini, bagi air boleh lalu dengan lancar dan boleh keluar dengan cepat dari saluran, jadi tiadala isu air tersumbat dan naik di kawasan perumahan.

“Kemudian harap mereka boleh agihkan air yang terlalu banyak melalui saluran air juga, kalau semua air hendak lalu longkang sempit ini susah. Kena kurangkan beban laluan air di sini,” katanya.

Atbevisnu resah dengan situasi itu memandangkan rumahnya adalah rumah yang paling hampir dengan lokasi air tersekat disebabkan sistem perparitan yang tersumbat. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -