
Oleh SYAHIRAH SALLEH
MELAKA: Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Muhammad Al Afiz Yahya berhasrat untuk menyelesaikan isu keselamatan yang dihadapi penduduk sekiranya diberi mandat untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen beliau mendapati penduduk setempat gusar mengenai keselamatan disebabkan kekurangan anggota keselamatan selain isu banjir yang kerap dihadapi.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, saya ada menerima aduan rumah mereka baru dipecah masuk. Semestinya ramai orang tertekan disebabkan tiada pekerjaan dan sebagainya, tapi keselamatan agak kurang (terjamin).
“Situasi ini melahirkan rasa kebimbangan yang cukup besar dan rakyat mengharapkan satu inisiatif dan solusi terbaik dari permasalahan ini,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, semalam.
Menurut Muhammad Al Afiz, sekiranya diberi mandat oleh penduduk Bukit Katil pada PRN ini, beliau berhasrat untuk memohon penambahan sebuah balai polis dan anggota keselamatan di sini.
Katanya, beliau akan membawa aduan berkenaan kepada Sidang DUN seterusnya ke peringkat kerajaan pusat untuk penyelesaian bersama.
“Kita melihat fasiliti keselamatan di kawasan yang cukup besar di Bukit Katil, Bukit Baru, Bukit Beruang, Padang Jambu, Paya Ikan, Bukit Banyan, Taman Tun Rahah, Kampung Tun Razak, (kurang).
“Bukit Katil ini besar, dengan kepadatan penduduk hampir 50,000 orang, tapi pegawai keselamatan dan balai (polis) hanya ada satu sahaja.
“Kita cuba untuk menyelesaikan masalah ini sebaik mungkin, iaitu dengan memberi cadangan untuk membuka satu lagi balai di kawasan Bukit Katil, dan juga menambah anggota keselamatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021











