
SEBELUM kita menegur seseorang, cuba kita tanya diri sendiri apakah niat kita menegur? Jika niatnya adalah untuk memalukan orang, batalkanlah niat itu. Jika niatnya adalah untuk menunjukkan diri kita pandai dan merendahkan pihak lawan, batalkanlah niat itu. Jika kita tidak pasti bahawa kita di dalam kebenaran, batalkanlah juga niat itu.
Bukannya kita tidak boleh membuat teguran, tetapi buatlah teguran yang bersifat membina. Teguran itu mestilah bersifat mendidik dan menginsafkan. Kita membuat teguran ini kerana tanggungjawab kita kepada Allah, bukannya kerana manusia dan maruah kita.
Jagalah maruah pihak yang hendak ditegur. Semasa membuat teguran, ingatlah diri kita ini juga tidak sempurna. Ingatlah manusia di hadapan kita itu juga pernah membuat kebaikan dan bercakap dengan perkataan yang baik. Berilah teguran tanpa buruk sangka kepada kepada mereka. Tegurlah dengan penuh adab dan bercakap dengan perkataan yang lemah-lembut.
Mari kita ambil ibrah daripada kisah Nabi Musa dan Nabi Harun, ketika Allah S.W.T mengarahkan mereka berdua untuk berdakwah kepada Firaun. Firman Allah S.W.T:
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.”
[Taha: 44].
Dengan sejahat-jahat manusia diminta untuk menegur dengan lemah-lembut, inikan pula Sahabat-sahabat kita yang hanya tersilap atau terkadang membuat kesalahan.
Marilah kita sama-sama menyemai adab dalam menegur, kerana yang menegur ini juga akan ditegur suatu hari nanti. Lahirkan juga rasa bersyukur kerana ada yang sanggup memberi pandangan untuk memperbaiki diri ini.
Semoga dengan keikhlasan dan kebenaran kita dalam menyampaikan teguran, yang turut disulami dengan kata-kata yang lembut menyebabkan orang ramai mudah menerima teguran yang kita berikan.
YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 15/11/2021
Sumber Asal: https://m.facebook.com/412578727095840/posts/445587573794955











