
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Tahun ini sudah tujuh kali rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai di Kampung Jelempok dinaiki air.
Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim berkata, pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi penduduk terbabit dan berharap langkah penyelesaian dapat dijalankan segera.
“Agensi kerajaan berkaitan perlu membuat perancangan untuk jangka masa panjang supaya tidak membeban penduduk dengan masalah banjir.
“Antara penyelesaiannya menambak tebing sungai dan pemasangan longkang pintu rata (flatgate), saya difahamkan akan dilaksana Mac tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi banjir di Kampung Paloh semalam.
Turut hadir Pengurus Wilayah Satu MADA, Zairizal Zainol. Mangsa terlibat berpindah sementara ke rumah saudara mara terdekat.
Mohd Ridzuan juga berkata, pihaknya berusaha membantu keluarga terlibat termasuk bantuan wang tunai dan keperluan lain.
“Awal bulan lalu, kita menyalurkan bantuan kepada keluarga terjejas. Hujan lebat sejak semalam menyebabkan rumah di kawasan tersebut kembali dinaiki air,” katanya.
Sementara itu sepasang warga emas, Ahmad Omar, 78 dan Ramlah Zakaria, 70 memberitahu rumah mereka sekali lagi dinaiki air sehingga ke paras paha semalam.
Menurut Ahmad, setiap kali hujan lebat rumahnya sering dinaiki air berikutan limpahan air Sungai Jelempok.
“Dalam tempoh dua bulan sahaja, sudah lima kali rumah saya dinaiki air dan secara keseluruhan tahun ini sudah tujuh kali,” katanya.
Anaknya, Rohaizam, 34 berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan mendalamkan parit dan Sungai Jelempok serta menaik taraf saliran.
Turut ditengelami banjir rumah penduduk di Kampung Jelempok, Kampung Titi Besi dan Paloh. – HARAKAHDAILY 11/11/2021











