
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi medan ujian khas kepada PAS, Umno dan Bersatu untuk melihat sejauh mana keupayaan mereka bertanding.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, tidak menafikan Melaka sebagai kubu kuat Umno sebelum ini.
“Kemungkinan Umno mahu mencuba sejauh mana sokongan rakyat terhadap mereka apabila bertanding bersendirian.
“Tetapi saya melihat, jika PRN Melaka pihak yang menang tidak dapat membentuk kerajaan kemungkinan mereka (Umno, Bersatu dan PAS) akan kembali bersama membentuk kerajaan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Malah Barisan Nasional (BN) tidak menolak menerima semula kerjasama dengan Bersatu dan PAS sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri di Melaka.
Timbalan Pengerusinya, Dato’ Seri Mohamad Hassan berkata, gabungan itu tidak mahu lagi wujudnya keadaan kerajaan sentiasa diugut keluar parti oleh mana-mana parti politik.
PRN Melaka menyaksikan pertembungan tiga parti utama iaitu Perikatan Nasional (PN), BN dan Pakatan Harapan (PH) di kesemua 28 kerusi.
Selain itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran calon Bebas, Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) sehingga berlaku pertembungan banyak penjuru.
PRN tersebut ekoran krisis dalaman Umno sehingga empat bekas Adun kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Dato’ Seri Sulaiman Md Ali.
Dr Rusdi juga berkata, pemimpin politik jangan hanya berfikir tentang kuasa dan parti politik masing-masing sahaja, sebaliknya perlu mengutamakan rakyat dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Kata beliau disebabkan perpecahan yang berlaku sekarang rakyat semakin muak dengan sikap segelintir ahli politik.
Katanya juga pemimpin politik sepatutnya berjiwa besar, jangan pula apabila diberi kuasa sudah merasa begitu hebat.
“Apabila hilang kuasa barulah nak bersatu, sehingga lupa asal usul mereka. Oleh itu saya minta pemimpin politik sama ada dari Umno, Bersatu dan PAS perlu bermuhasabah dengan mencari punca kenapa berlakunya perpecahan.
“Mereka tidak boleh hanya berfikir mengenai kepentingan parti masing-masing sahaja jika mahu prinsip perpaduan ummah diteruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2021











