OKU dikecuali sertai kursus praperkahwinan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diberikan pengecualian mengikuti Kursus Praperkahwinan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata keputusan itu selaras Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Seluruh Malaysia (KPNCR) kali ke-39/2018.

Katanya, jumlah penyertaan daripada golongan terbabit tidak ramai dan rekod penyertaan amat sedikit berikutan pengecualian mengikuti kursus tersebut.

- Advertisement -

“Data diperolehi daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) merekodkan penyertaan Kursus Pra-perkahwinan Islam untuk OKU hanya seramai 36 orang pada tahun 2019 dalam kalangan OKU pendengaran.

“Melaka menggantikan pengecualian menghadiri kursus pra-perkahwinan kepada pelaksanaan temuduga kepada OKU penglihatan, pendengaran dan lembam,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Shahrizukarnain Abd. Kadir (PAS-Setiu) mengenai pelaksanaan kursus pra-perkahwinan membabitkan komuniti OKU.

Idris juga berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang membangunkan Pelan Tindakan OKU Muslim sebagai inisiatif menyantuni golongan berkenaan.

“Pelan tersebut dibangunkan bagi mendukung Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan Dasar OKU Negara yang sedia ada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” ujar beliau.

Beliau juga berkata, pada tahun 2017 seramai 47 peserta menyertai Kursus Praperkahwinan Islam Khas Kepada Golongan OKU anjuran JAWI dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA). – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -