Kedah bangun program ‘Permit Pembinaan Ekspres’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri membangunkan program ‘E10: Permit Pembinaan Ekspres’ dalam usaha memacu pertumbuhan produktiviti dan daya saing ke peringkat lebih tinggi.

Setiausaha Kerajaan Kedah Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, program itu akan digunapakai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kedah.

Selain itu melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi teknikal kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung termasuk pihak perunding.

- Advertisement -

“Usaha itu untuk meningkatkan produktiviti dan merealisasikan inisiatif pembangunan work instruction serta perkongsian data geospatial sedang dibangunkan melalui penglibatan semua pihak.

“Bagi memastikan pelaksanaan proses E10 secara holistik, beberapa siri sesi libat urus pembangunan work instruction and geospatial yang difasilitasikan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara bersama PTG akan diadakan,” katanya pada kenyataan semalam.

Menurut laporan Warta Kedah proses E10 merupakan kaedah permohonan Kebenaran Merancang (KM) bagi sesebuah pembinaan bangunan atau kilang sehingga Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta lesen pengoperasian diperolehi.

Kata beliau proses itu disasarkan siap dalam tempoh 10 bulan atau tempoh yang dipersetujui bermula tarikh permohonan tersebut dimajukan kepada PBT.

Katanya langkah tersebut membolehkan perusahaan atau kilang tersebut dapat beroperasi sekaligus mampu menghasilkan produk.

Shaikh Mahmood juga berkata, proses E10 akan dipromosikan kepada pelabur semasa kunjungan delegasi Kedah ke Dubai Investment Expo 2021 pada 22 hingga 26 November ini bagi menarik lebih ramai pelabur melabur di negeri itu. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -