
Oleh SYAHIRAH SALLEH
MELAKA: Anak muda mahukan kepimpinan amanah, berintegriti dan bertanggungjawab diterjemahkan di dalam politik hari ini.
Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Katil, Muhammad Al Afiz Yahya, berkata beliau kesal dengan sikap segelintir individu yang mengutamakan politik kuasa.
Katanya, situasi itu berlaku sehingga mereka melupakan tujuan utama apabila dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), exco kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Justeru itu, beliau menawarkan kepimpinan amanah, berintegriti dan bertanggungjawab untuk rakyat Melaka, khususnya di Dun Bukit Katil sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Yang penting adalah apabila kita terpilih untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan, kita mesti menjadi seorang pemimpin yang amanah, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Program Bicara Santai: PRN Melaka anjuran Melaka Update, di sini, semalam.
Selain itu, Al Afiz juga berhasrat untuk memastikan pengurusan saluran bencana banjir di Melaka dapat diuruskan dengan lebih efektif.
Katanya, beliau kesal kejadian banjir berlaku empat kali dalam tempoh setahun, malah lebih mendukacitakannya apabila terdapat banjir yang berlaku dua kali dalam tempoh satu bulan.
“Paling menyedihkan dalam tempoh satu bulan, dua kali banjir yang terkesan hampir 1,000 buah rumah di seluruh negeri Melaka.
“Sehingga rakyat Melaka menzahirkan bahawa kerajaan yang memerintah sebelum ini, 22 bulan juga gagal mengatasi masalah ini, ditukar dengan kerajaan yang baharu pun gagal juga,” katanya.
Justeru itu kata Al Afiz, beliau akan memastikan suara itu dibawa untuk mengatasi masalah tersebut supaya diselesaikan dengan lebih pantas dan lebih baik.
Ketua Pemuda PAS Melaka itu juga berhasrat untuk mewujudkan program yang meningkatkan akhlak anak muda serta membimbing mereka menjauhi perbuatan mungkar.
Katanya, kini generasi muda di Malaysia terlalu dekat dengan kemajuan gajet dan bimbang anak muda jauh daripada sahsiah yang baik.
“Kita tidak menolak kemajuan, kita mahu kemajuan untuk membangunkan negara lebih ke hadapan, tapi dalam masa sama kita mahukan anak muda tidak jauh dari saksiah yang baik, akhlak yang baik serta membawa pemuda dengan akhlak selari dengan tuntutan budaya dan agama di Malaysia ini,” katanya.
Selain itu, Al Afiz juga berhasrat untuk memastikan aduan rakyat dari segenap masyarakat dibawa, didengari dan diambil tindakan sebaiknya.
“Kini banyak anak muda mengeluh bagaimana untuk membeli rumah dan bagaimana untuk menghadapi cabaran ekonomi hari ini.
“Saya akan pastikan semua aduan itu, dan juga keresahan rakyat, terutama anak muda pada waktu ini, dibawa suara mereka kepada tempat selayaknya,” katanya.
Di samping itu kata Al Afiz, beliau juga akan memastikan bantuan kepada rakyat kurang berkemampuan disalurkan secara adil dan bersasar.
Jelasnya, beliau juga akan melaksanakan sebuah pentadbiran yang dapat menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengabaikan orang bukan Islam dan kaum lain.
“Kita mahukan seorang pemimpin yang kehadapan, pemimpin yang berani membawa suara rakyat, pemimpin yang berani untuk membawa perubahan demi kebaikan dan kelestarian negeri Melaka ini.
“Insya-Allah itu janji dan usaha yang akan saya berikan sebagai calon anak muda, untuk memastikan anak muda terbela. Tidak dilupakan kepada seluruh pengundi atau rakat negeri Melaka terutamanya Dun Bukit Katil,” katanya.

Selain beliau, tujuh lagi calon Perikatan Nasional daripada PAS yang bertanding ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sedik (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).
Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 20 November manakala undi awal 16 November. – HARAKAHDAILY 9/11/2021











