
MELAKA: Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap dengan penampilan campuran parti Perikatan Nasional (PN) dapat melahirkan pentadbiran yang stabil untuk rakyat Melaka.
Beliau percaya, rakyat Melaka juga inginkan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak menimbulkan banyak masalah atau huru-hara dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya rasa rakyat juga tidak puas hati apabila mereka diheret oleh pihak yang ingin menimbulkan ketidaktenteraman.
“Justeru, kita ingin membawa satu harapan baharu kepada rakyat negeri Melaka undi PN, untuk lebih kestabilan. Ini yang diperlukan oleh rakyat di negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai melepaskan Calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Kamarudin Sidek, di Bilik Gerakan PN Telok Mas, di sini, hari ini.
Dr Ahmad Samsuri juga berharap dengan komitmen yang diberi PN dengan menampilkan campuran calon yang menyeluruh daripada PAS, Bersatu dan Gerakan itu akan melahirkan satu pentadbiran yang lebih stabil berbanding dengan sebelum ini.
Turut hadir dalam sesi pertemuan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Gerakan Rakyat, Dominic Lau Hoe Chai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – HARAKAHDAILY 8/11/2021











