Calon PN diberi taklimat sebelum serah borang pencalonan

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

- Advertisement -

MASJID TANAH: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad, 59, menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.30 pagi tadi.

Beliau yang merupakan calon PN mewakili PAS tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.15 pagi turut ditemani oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, serta beberapa orang pengiring.

Pencalonan Aziah dicadang oleh Zul Sham Mahat, 53, dan disokong oleh Hasbullah Mohamad Halil, 44.

Terdahulu kesemua calon PN di dalam Parlimen Masjid Tanah telah berkumpul di Bilik Gerakan Induk PN Masjid Tanah untuk mendengar taklimat dan kata-kata semangat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.

Kelima-lima calon PN di dalam Parlimen Masjid Tanah iaitu Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (DUN Tanjung Bidara), Dr Nordina Abdul Latif (Ayer Limau), Abdullah Mahadi (Lendu) dan Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning) hadir dalam pertemuan itu.

Turut bersama-sama semasa pertemuan itu ialah Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan pimpinan PN tempatan. – HARAKAHDAILY 8/11/2021

- Advertisement -