
KUALA NERUS: Dewan Muslimat PAS Pusat berharap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diberi lebih banyak calon wanita peluang untuk bertanding untuk bersama mentadbir negara.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Rosni Adam berkata, Dewan Muslimat tidak ketandusan tokoh untuk ditampilkan sebagai calon.
Bagaimanapun katanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya seorang sahaja calon muslimat yang ditampilkan daripada 8 calon PAS yang akan bertanding.
“Jumlah itu hanya lebih 1 peratus. Sedangkan perlu diingatkan tangan yang menghayung buaian mampu mengoyang negara,” katanya pada sesi penggulungan muktamar PAS kali ke-67 di Duyung Resort hari ini.
Beliau juga berkata, Islam meletak wanita pada kedudukan yang tinggi, sedangkan sebelum ini golongan wanita sekadar menjadi alat.
Menurut beliau juga ramai perwakilan pada muktamar kali ini menyentuh tentang isu-isu wanita.
“Jadi Dewan Muslimat perlu bangkitkan perjuangkan wanita. Pada muktamar kali ini Dewan Muslimat mencadang untuk diwujudkan Lajnah Pembangunan Keluarga, dan diharap ia dapat diluluskan,” katanya.
Dr Rosni turut berharap ahli-ahli dan penyokong PAS perlu memastikan tiada ada anak-anak dan keluarga yang tidak mendapat pembelaan. – HARAKAHDAILY 7/11/2021











