Undi18: Cari pendekatan dari petunjuk Allah dan Rasul

- Advertisement -

KUALA NERUS: Semua entiti di dalam PAS perlu menggembleng pendekatan dan meyakini bahawa usaha mendekati anak muda akan membuahkan hasil dan menarik golongan tersebut untuk bersama dengan perjuangan Islam dibawa PAS.

Perwakilan PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim @ Muhamad Zulkifli Ibrahim membawa kisah yang seusai peristiwa Israk dan Mikraj bertemu dengan 26 kabilah mengajak mereka bersama Baginda, tetapi mereka menyatakan ketidaksanggupan.

Namun cerita beliau, akhirnya pertemuan bersama enam anak muda membuahkan kesediaan untuk mendukung dan mempertahankan Baginda di mana peristiwa tersebut harus menjadi keyakinan bahawa anak muda akan bersama.

Beliau menyentuh mengenai Undi18 ketika berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

“Kadang-kadang bila sebut tentang undi orang muda ini, ramai orang risau, ramai orang bimbang, sedangkan kita ada (Dewan) Pemuda. Kita ada Dewan Ulamak, dan dalamnya ada Ulamak Pelapis.

“Kita ada Dewan Muslimat, dalamnya ada Ameerah, ada Nisa’, dan kita ada ngo-ngo yang boleh membantu dalam gerak kerja mendekati anak muda ini,” ujarnya optimis pendekatan yang disulam tunjang dan penerapan Islam akan berjaya.

Sebaliknya peringat beliau, kerisauan yang muncul mesti diatasi dengan menjadikan segala petunjuk dan panduan daripada Allah dan Rasul sebagai pedoman dalam merencana pendekatan terhadap golongan tersebut antaranya menerusi pendidikan politik anak muda. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -