Teruskan penyatuan ummah sekalipun berdepan ancaman

- Advertisement -

KUALA NERUS: Penyatuan ummah yang digagaskan PAS bukan hanya untuk politik dan pilihan raya semata-mata, tetapi adalah mesej jelas dan cita-cita murni PAS untuk negara dan rakyat masyarakat majmuk seluruhnya.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Najhan Abdul Halim berkata, tema yang dipilih pada muktamar kali ini secara kronologinya adalah konsistensi PAS sejak beberapa tahun sebelumnya.

“Ia bukan sekadar untuk menghadapi kecamukan politik negara yang berlaku pada waktu ini, tetapi ialah untuk menyelesaikan dan untuk menghadapi ancaman daripada negara luar yang sentiasa mengintai peluang perpecahan di kalangan umat di dalam negara kita.

“Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden telah meletakkan asas utama dan agenda penyatuan ummah merupakan satu misi dan tugas yang tidak berhenti sampai bila-bila.

“Sehingga tercapainya maksud penyatuan ummah sebagaimana yang ditegaskan dalam risalah Islam yang didukung oleh PAS selama ini,” ujarnya berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, Dewan Ulamak mengakui bahawa kerja atau tugas menyatukan ummah bukan tugas mudah dan akan tercapai dengan cepat di mana itulah fitrah perjuangan Islam yang ditetapkan sejak azali.

Katanya, hanya mereka yang mempunyai kesabaran dan tawakal tinggi, serta berjiwa besar dan optimis dengan penyatuan ummah ini sahaja akan dapat mencapai cita-cita besar tersebut.

“Ini adalah kerana usaha penyatuan umah yang dibawa oleh PAS ialah bukan hanya untuk urusan politik dan pilihan raya semata-mata, malah lebih menjangkaui penyatuan ini.

“Umat Islam telah berkonflik sejak sekian lama kesan daripada kejahilan dan pecah perintah tinggalan penjajah termasuklah juga menyatukan semua rakyat negara ini yang majmuk sifatnya,” ujarnya.

Serunya, semua pihak perlu mendukung usaha penyatuan ummah ini di mana masih ada sinar dan cahayanya walaupun berdepan dengan liku-liku rintangan serta cubaan dan dugaan yang sangat berbahaya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -