
KUALA NERUS: Hala tuju dan penawaran kerajaan kepada rakyat mesti dicaknai setiap anggota PAS agar ianya dapat disampaikan dengan berkesan, demikian kata Perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat, Nurhikmah Ramli.
Menurut beliau, tawaran kerajaan menerusi Belanjawan 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mempunyai banyak penyelesaian kebajikan dan pemulihan ekonomi terhadap kesan pandemik COVID-19.
“Belanjawan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional dalam memberi fokus ke arah rakyat berkebajikan yang selari dengan konsep Keluarga Malaysia dan Rancangan Malaysia Ke-12,” ujarnya.
Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.
Beliau berharap penawaran tersebut diperluaskan dengan memanfaatkan penggunaan aplikasi digital, di samping memudahkan proses permohonan bantuan dan skim tertentu secara pantas hanya melalui akses di hujung jari.
“Walau bagaimanapun golongan warga emas serta mereka yang tinggal di luar bandar mempunyai kekangan dari aspek capaian internet, selain kemahiran literasi digital lemah yang menghalang mereka daripada mendapatkan maklumat tepat tentang bantuan ditawarkan kerajaan di samping kesukaran dalam mengisi borang secara atas talian.
“Berdasarkan unjuran data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, negara juga dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 dengan jangkaan sebanyak 15.3 peratus daripada komposisi keseluruhan penduduk Malaysia adalah berusia 60 tahun dan ke atas.
“Oleh itu kita juga perlu cakna dengan hala tuju dan penawaran kerajaan kerana kita telah berada sebagai sebahagian daripada kerajaan sedia ada,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 6/11/2021











