Penyatuan ummah: PAS perlu kekal matlamat utama

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA NERUS:
PAS perlu kekal matlamat utama dalam membawa penyatuan ummah demi memastikan Islam terus terjaga dan terpelihara bukan sekadar hanya berpolitik semata-mata tetapi perlu menjangkaui penyatuan ini.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Najhan Abdul Halim berkata, melalui ucaptama yang disampaikan oleh Presiden PAS juga jelas merupakan satu mesej yang jelas dan meyakinkan bahawa penyatuan ummah bukan sekadar untuk menghadapi kecamukan politik negara yang berlaku saat ini.

- Advertisement -

Akan tetapi katanya, ia merupakan satu langkah dan jalan untuk menyelesaikan dan menghadapi ancaman dan anasir luar yang sentiasa melihat peluang perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Islam menyatukan ummah adalah tema yang dipilih adalah kronologi mesej jelas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggalakan umat Islam dan rakan-rakan dalam masyarakat majmuk dan ia bukan sekadar hanya untuk menghadapi pilihan raya semata-mata.

“Ucaptama Presiden PAS merupakan asas dan agenda penyatuan ummah malah ia juga merupakan satu misi dan tugas yang tidak berhenti sampai bila-bila sehingga tercapai maksud penyatuan ummah sebagaimana ditegaskan oleh PAS sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 yang diadakan di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Sementara itu, tambahnya DUPP melihat bahawa kerja dan tugas menyatukan ummah bukan tugas yang mudah, kerana ia merupakan fitrah yang ditetapkan sejak azali.

Justeru itu katanya, Majlis Syura Ulamak dan PAS telah mempertimbangkan kelebihan dan kekurangan akan segala keputusan hukum, strategi agar matlamat dapat dikecapi dengan berjaya.

Oleh itu katanya, DUPP turut menyarankan agar setiap pihak perlu mengambil sikap berunding dan musyawarah dalam apa jua keadaan, kekeliruan, kecelaruan agar setiap permasalahan dapat dirungkai dengan harmoni. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -