
KUALA NERUS: Sungguhpun PAS tidak memiliki kelengkapan dan kewangan yang jauh lebih banyak dan baik daripada parti lain, namun persiapan bersistematik dan tersusun mesti diadakan dalam menarik sokongan ramai.
Perwakilan PAS Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahaya menegaskan, seluruh jentera PAS juga mestilah tidak mengharapkan kekuatan hanya pada batang tubuh Tuan Guru Presiden dan Timbalan Presiden sahaja untuk membawa imej PAS.
Sebaliknya gesa beliau, PAS perlukan lebih ramai ahli dan pimpinan yang mempunyai watak dan sikap seperti kedua-dua tokoh agar masyarakat tertarik kepada pendekatan dibawa oleh parti ini.
Perbanyakkan ilmu, perbanyakkan pergaulan dengan masyarakat. Ini adalah, semua ini adalah satu indikator yang penting dalam menarik minat masyarakat kepada pAS.
“Dalam pada kita menonjolkan imej kita kepada masyarakat luar, dalaman parti kita mesti diperkkuhkan. Ahli parti jangan suka ikut kepala sendiri. Kita ada pimpinan tuan-tuan, dan selagi mana pimpinan kita tidak lari daripada landasan Islam, wajib keatas kita untuk sami’na waato’na kepada pimpinan.
“Tidak salah jika kita berbeza pendapat, tetapi apa bila sesuatu keputusan telah dibuat, ahli jangan lagi mempersoalkan. Saidina Ali k.W pernah menyebut kebenaran yang tidak tersusun akan dapat dikalahkan dengan kebatilan yang tersusun,” peringat beliau.
Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

Perwakilan Dewan Himpunan Pendukung PAS, Dr Balachandran Gopal Krishnan terdahulu berucap menegaskan pentingnya keadilan sebagaimana menjadi perintah utama dalam Islam terus dikembangkan.
Jelasnya, keadilan Islam telah melenyapkan banyak kemusykilan sebaliknya dapat mewujudkan masyarakat yang inklusif dan bersatu padu, selain agama sebagai tonggak telah meranapkan kebencian, digantikan kasih sayang.
“Dan untuk mencapai perpaduan dalam erti kata yang sebenar, memerlukan kita melakukan kerja keras yang mencabar untuk mewujudkan keadilan yang kita maksudkan itu dengan memberi peluang bagi pihak pihak yang terpinggir.
“Kita perlu mengambil kira perhitungan dosa dan pahala dalam pendekatan kita demi mewujudkan pemimpin yang berintegriti agar kita dapat memimpin dan menguruskan negara dengan sistem kehidupan dunia yang membawa rahmat untuk semua.
“Dan melengkapkan diri kita dengan prinsip amar makruf nahi mungkar supaya kita brsikap jujur dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat.
“Dan yang paling penting kita perlu menganggap satu sama lain sebagai satu keluarga manusia yang dijadikan tuhan di bumi miliknya baru kita akan dapat jadikan penderitaan kita lalui terhapus,” serunya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021











