Menteri Besar ziarah keluarga mangsa lemas

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUBANG PASU:
Keluarga mangsa lemas ketika memukat ikan di Kampung Bukit Berangan semalam, dikunjungi Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau antara pemimpin terawal menziarahi ibu mangsa lemas, Cik Putih Khamis setelah mayat Mohamad Omar Ismail ditemui 9.30 pagi tadi. Turut hadir isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Oleh itu Sanusi berharap ibu, isteri serta keluarga mangsa bersabar dengan ujian yang ditentukan Allah SWT.

- Advertisement -

“Banyak bersabar. Di mana-mana pun apabila ditakdirkan sudah sampai masanya tidak kira di air atau di darat kita akan mati. Semuanya telah ditentukan Allah SWT,” katanya ketika menziarahi keluarga terbabit hari ini.

Mohamad Omar, 25 merupakan anak tunggal Cik Putih, dipercayai lemas dan dibawa arus ketika memukat ikan di sawah berhampiran rumah ibunya tengahari semalam.

Berikutan itu operasi mencari dijalankan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kedah.

Keluarga mangsa juga diziarahi Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan, Pembasmian Kemiskinan dan Kesejahteraan Rakyat, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan anak berusia setahun. – HARAKAHDAILY 4/11/2021

- Advertisement -